Halaman

12 July 2012

Generasi kedua Taman Rahmat perlu berubah : MB

Oleh: Aida Abd Rahman

Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said mengingatkan generasi kedua di Taman Rahmat, Pulau Kerengga, Marang dapat memanfaatkan peluang dan kemudahan yang disediakan kerajaan negeri serta Pusat khususnya dalam aspek pendidikan bagi mengubah nasib keluarga mereka.



Beliau berkata, generasi pertama yang terdiri di kalangan ibu bapa dan ketua keluarga mungkin sukar untuk mengubah kehidupan masa kini memandangkan faktor usia dan kekangan yang ada termasuk kecacatan yang dihadapi mereka sejak sekian lama.

“Saya minta mereka berikan kesedaran, motivasi dan harapan kepada anak mereka. Apabila anak-anak mereka berjaya, mereka boleh mengubah nasib mereka. Kita mahu mengubah mereka (generasi pertama) agak payahlah sebab mereka berumur dan untuk belajar juga susah.

“Sebab itu saya tekankan setiap malam, mereka perlu memantau perkembangan anak-anak mereka dengan bertanya mengenai pelajaran, sama ada sudah mengulang kaji pelajaran dan menyiapkan kerja sekolah,” katanya di sidang akhbar selepas menyampaikan sumbangan hamper barangan dapur kepada 53 ketua keluarga sempena Program Kar1sma Mesra, di Dewan Inspirasi Warisan Taman Rahmat, Marang, petang semalam (11 Julai).

Turut hadir, Pegawai Daerah Marang, Tuan Haji A Rahman Che Ali, Yang Dipertua Majlis Daerah Marang, Encik Zulkifli Ali dan Pegawai Pembangunan Dewan Undangan negeri (DUN) Rhu Rendang, Haji Nik Dir Nik Wan Ku.

Menteri Besar berkata, tiada sebab anak-anak penghuni di situ gagal dalam pelajaran memandangkan sudah ada di kalangan mereka berjaya menjejakkan kaki ke menara gading dan menyambung pelajaran peringkat diploma dan juga ijazah kedoktoran.

Beliau dalam ucapan sebelum itu meminta semua penghuni di penempatan itu tidak menyalahkan takdir dengan apa yang sedang dihadapi kini, sebaliknya perlu bangkit dari kehidupan yang sukar untuk melihat kejayaan anak-anak serta masa depan yang lebih terjamin.