Halaman

18 July 2012

Ganjaran `rahsia', istimewa menanti atlet Sukma

Oleh: Aida And Rahman
Gambar ZULKIPLI PUTRA



Ganjaran istimewa dan berbaloi bakal diterima atlet Terengganu yang berjaya mengharumkan nama negeri di Sukan Malaysia (Sukma) ke-15 Pahang , sekali gus mengekalkan kejuaraan Sukma untuk edisi keempat berturut-turut, tidak lama lagi.

Bagaimanapun, ganjaran itu masih menjadi `rahsia’ apabila Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, menyatakan beliau hanya akan mengumumkan hadiah itu apabila tiba masa yang sesuai kelak.

“ Sebagaimana yang saya katakan tadi, saya tidak mahu beritahunya lagi, saya akan mengumumkan apabila sampai masanya, insya-Allah.

“Ganjaran berbaloi dengan apa yang dihasilkan akan kita berikan kepada mereka (atlet Sukma) nanti,” kata beliau di sidang akhbar selepas Majlis Sambutan Kejayaan Atlet dan Pegawai Sukma Ke-15 Pahang, di Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu, hari ini.


Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan negeri, Haji Rozi Mamat dan Pengarah Majlis Sukan Negeri Terengganu, Haji Zainal Abidin Hussin.

Menteri Besar berkata, kerajaan negeri juga bersetuju untuk mengagihkan insentif kemenangan kepada setiap atlet, masing-masing RM5,000 untuk setiap pingat emas, RM3,000 (perak)dan pingat gangsa RM2,000 kira-kira dua minggu sebelum menjelangnya Hari Raya Aidil Fitri nanti.

Menurutnya, pihaknya juga bersedia menimbang permohonan tanah oleh atlet yang berusia 18 tahun ke atas mengikut prosedur biasa yang bergantung kepada kekosongan lokasi tanah berkenaan.

Sempena kejayaan `luar biasa’ Terengganu dengan merangkul 62 emas melepasi sasaran awal 47 emas yang ditetapkan sebelum ini, Menteri Besar turut mengumumkan Ahad ini (22 Julai) sebagai cuti umum di Terengganu.

Katanya, pengisytiharan cuti umum itu juga sebagai tanda penghargaan kepada seluruh rakyat Terengganu yang menyokong atlet Sukma negeri sehingga berjaya melakar kejayaan gemilang di pentas sukan negara.