Halaman

16 July 2012

Emas Terbesar Terengganu


Oleh FAUZI MOHD

Biarpun tirai temasya Sukan Malaysia (Sukma) hanya akan ditutup secara rasmi malam ini, kehebatan Terengganu melahirkan jaguh lumba basikal, memanah dan olahraga membolehkan negeri itu ditabalkan selaku juara keseluruhan buat kali ketiga berturut-turut.

Walaupun masih ada lapan pingat emas ditawarkan pada hari terakhir, namun pencabar terdekat kontingen Hanelang, Selangor sudah tidak mampu memintas kerana dipisahkan dengan 14 pingat emas selepas 360 acara dipertandingkan.

Selepas muncul juara keseluruhan pada 2008 dan 2010, kontingen yang diketuai Pegawai Daerah Kuala Terengganu, Wan Nawawi Wan Ismail itu meneruskan misi sebagai kuasa baru sukan negara dengan membolot 62 pingat emas, satu pungutan terbesar yang pernah diraih Terengganu dalam sejarah sukan itu.

Malah, pungutan yang diraih kontingen negeri juga mengatasi sasaran sebenar mereka, yang sekadar menetapkan misi 47 emas untuk dibawa pulang.

Sebagai rekod, pada Sukma 2010 di Melaka, Terengganu meraih 47 emas, 30 perak dan 43 gangsa.

Ketika menjadi tuan rumah pada Sukma 2008, kontinjen itu mendapat 61 emas, 39 perak dan 47 gangsa, untuk muncul juara buat kali pertama.

Bayangkan dalam acara lumba basikal, Terengganu berjaya membolot 12 daripada 18 emas yang ditawarkan, manakala memanah menyumbang sembilan emas dan olahraga dengan lapan emas.

Pada hari kesembilan semalam, Terengganu unggul menambah lapan pingat emas dengan dua daripadanya daripada acara angkat berat, memanah serta hoki dan satu daripada sepak takraw dan tinju.

Selain itu, Terengganu turut cemerlang dalam sukan angkat berat (enam), taekwondo (empat) dan ekuestrian (tiga).

Kecemerlangan anak Terengganu pada Sukma kali ni cukup mengejutkan kerana acara yang menjadi salah satu penyumbang emas terbesar di Melaka, kanu tidak disenaraikan di Pahang.

Bagaimana Terengganu mampu menjadi kuasa sukan tempatan yang cukup hebat, ia sesuatu yang harus membuka mata negeri lain apabila menyiapkan atlet masing-masing untuk menghadapi temasya di Perlis, dua tahun dari sekarang