Halaman

29 July 2012

Affin Islamic bina 300 rumah golongan miskin seluruh negara

Oleh; Esah Abdullah

Affin Islamic Bank Berhad telah berjaya membina 40 buah rumah kepada asnaf di negeri ini menjadikan jumlah keseluruhan 300 buah rumah di seluruh negara di bawah pembiayaan wang zakat sejak 2006.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Encik Kamarul Ariffin Mohd Jamil berkata, antara negeri yang telah mendapatkan kemudahan rumah ini termasuklah Sabah, Pahang, Melaka, Kedah, Kelantan, Perak dan terbaru di Terengganu.

“Kami amat sukacita bila mendapat peluang untuk menghadiahkan rumah kepada keluarga miskin,” katanya kepada pemberita di majlis Penyerahan Kunci Perumahan Affin Islamic Bank dan Maidam, Agihan Zakat Hai Raya dan Berbuka Puasa di Masjid Padang Nanas, Parlimen Kuala Nerus.

Menteri Besar Dato’ Seri Haji Ahmad Said yang diiringi isteri To’ Puan Seri Hajah Norliza Mahmud; telah menyempurnakan majlis berkenaan dan seterusnya berbuka puasa bersama penduduk tempatan.

Turut hadir Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Agama dan Penerangan negeri, merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) Tepoh, YB Haji Muhamad Ramli Noh dan Ketua Pegawai Eksekutif Maidam, Haji Wan Harujan Sulaiman.

Menurutnya, setiap rumah tiga bilik yang dibina berharga RM40,000 sebuah dan pihaknya membelanjakan kira-kira RM1.6 juta untuk projek itu di negeri ini.

“InsyaAllah jika bank terus mengekalkan prestasi nya kita akan teruskan agenda membantu golongan yang kurang bernasib baik ini untuk memiliki tempat kediaman yang lebih selesa serta anak-anak boleh membesar dalam persekitaran hidup yang lebih kondusif,” katanya.

Katanya, tahun ini pihak Affin Islamic akan menyumbangkan kira-kira RM6 juta dari dana zakat untuk diagihkan kepada asnaf yang layak.