Halaman

27 June 2012

UMT mampu siap 57 projek penyelidikan

Oleh: Suriati Ali


Universiti Malaysia Terengganu (UMT) berjaya menyiapkan 57 projek penyelidikan yang membabitkan kos RM4.1 juta sepanjang tahun lalu, sekaligus menghampiri sasaran Pelan Strategik UMT.

Penolong Naib Canselor (Hal Ehwal Penyelidikan & Inovasi), Dr Norhayati Mohd Tahir, berkata seramai 154 penyelidik yang terlibat dalam projek itu bertujuan mencapai sasaran ditetapkan iaitu disarankan 60 peratus daripada jumlah penyelidik perlu terlibat secara langsung .

“Dalam aspek penerbitan pula, secara keseluruhannya, warga penyelidik UMT telah menghasilkan sejumlah 829 penerbitan ilmiah yang terdiri daripada buku, artikel jurnal, bab dalam buku dan prosiding persidangan.

“Apa yang membanggakan adalah perningkatan kualiti artikel jurnal yang dihasilkan apabila lebih 50 peratus daripada artikel jurnal terindeks,” katanya katanya ketika berucap di Majlis Anugerah Malim Ilmu, di Taman Tamdun Islam, Pulau Wan Man, Kuala Terengganu, malam kelmarin.

Majlis yang dirasmikan Naib Canselor UMT, Prof Datuk Dr. Ibrahim Komoo turut dihadiri Timbalan Naib Canselor Prof Dr Noor Azhar Mohamed.

Pada majlis itu, Prof Madya Dr Nora’aini Ali dianugerahkan Saintis Tahunan Terbaik dan Dr Ikmar Nizam Mohammad Isa pula mengondol anugerah Saintis Muda Terbaik.

Manakala 151 penyelidik lagi masing-masing menerima 250 pelbagai kategori anugerah sempena majlis yang diadakan kali ke-5 itu.

Dr Norhayati turut memberitahu, UMT berjaya mencatat sejarah dalam pengurusan harta intelek apabila secara rasmi memperoleh tiga paten pertama.

“Kita sedang merancang dan berusaha untuk menjadikan paten-paten ini sebagai sumber yang akan menjana pendapatan kepada universiti dan penyelidik,” katanya.