Halaman

17 June 2012

Tiga atlet skuasy sahut cabaran di Sukma 2012

Terengganu mempertaruhkan tiga atlet terbaik mereka dalam acara skuasy bagi mengharungi temasya Sukan Malaysia (Sukma) di Pahang, bulan depan.

Pengurus pasukan skuasy negeri, Encik Mohd Najib Mohd Napis, berkata mereka ialah Ahmad Khairul Azlan Othman, Muhammad Faiqhwan Che Zakaria dan Nurina Mohd Najib.

Walaupun tidak menyasarkan sebarang pingat, beliau yakin skuad skuasy mampu memberi kejutan terutamanya bagi kategori individu wanita berdasarkan prestasi yang ditunjukkan Nurina.

Beliau berkata ,Nurina yang berusia 14 tahun, kini berada dalam senarai 10 pemain terbaik pada kejohanan skuasy Terbuka Pulau Pinang minggu lalu.
Katanya beliau yakin pemain yang mendapat bimbingan jurulatih dari Pakistan sejak tiga bulan lalu itu berkemampuan meraih pingat pada kejohanan Sukma.

"Dua atlet lelaki itu pula mampu bersaing berdasarkan kemenangan yang pernah mereka capai iaitu Azlan merangkul pingat emas pada Sukma 2008 manakala Faiqhwan mempunyai pengalaman dalam kejohanan peringkat antarabangsa," katanya.

Skuad skuasy Terengganu pernah meraih pingat emas ketika menjadi tuan rumah kejohanan Sukma 2008 dan memenangi pingat perak serta gangsa di Melaka Sukma 2010.