Halaman

19 June 2012

Pengerusi JKKK dan Imam Masjid Daerah Besut sertai seminar


Seorang peserta seminar bertanyakan soalaan

Oleh: Mohammad Ishak

Seminar Inovasi Memartabatkan Peranan Masyarakat Dalam Pencegahan Jenayah anjuran Polis Diraja Malaysia (PDRM) kepada pemimpin komuniti daerah Besut melengkapkan lagi usaha pasukan keselamatan berkenaan mendekati masyarakat.

Seminar itu walaupun singkat ia memberi impak besar kepada pemimpin masyarakat yang mewakili Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) dan Imam Masjid di daerah Besut.

Pada program yang diadakan di Dewan Ibnu Sina,Pejabat Agama Daerah Besut, Kampung Raja, peserta yang dipilih khas oleh Ibu Pejabat Polis Daerah Besut, memberi penekanan terhadap usaha memerangi jenayah dan dadah.

Tiga tokoh berkaitan dalam bidang masing-masing menyampaikan ceramah khas yang didahului Ketua Polis Daerah Besut, Superentendan Kamaruddin Mohd Zakaria, diikuti Pegawai Agama Daerah Besut, Azmi Tengah dan ditutup oleh Pegawai Daerah Besut, Ab Rahim Jusoh.

Menerusi seminar itu pemimpin yang menjadi tonggak kepada masyarakat akar umbi itu diminta memainkan tugas dan tanggungjawab untuk membantu pasukan keselamatan dalam memerangi masalah sosial, dadah dan jenayah setempat.

Kamaruddin berkata, pihaknya bimbang indek jenayah di daerah itu sejak kebelakangan ini semakin meningkat terutama dalam kes rogol, pukul dan pecah rumah.

Sehubungan itu, polis daerah itu melancarkan program 1 Polis 1 Masjid bagi mengawasi gejala tidak sihat yang berlaku dikalangan remaja daerah terbabit.

Sementara itu, Abd Rahim pula mahu semua jawatankuasa masjid meningkatkan usaha menjaga kebersihan di pusat ibadat itu supaya semua 80 masjid di seluruh daerah itu sentiasa dalam keadaan bersih dan cantik.