Halaman

09 June 2012

Pelatih PDK Jertih diajar cara mengosok gigi



Oleh: Mohammad Ishak 

Pelatih yang sedang belajar di Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) Jertih diberi pendidikan dan latihan kaedah mengosok gigi yang betul bagi mempastikan penjagaan gigi yang baik dan sistematik.

Program bulanan yang dikendalikan oleh kakitangan Klinik Pergigian Jertih itu bertujuan memberi kemahiran kepada pelatih berkenaan untuk mengosok gigi dengan cara yang betul.

Penyelia PDK Jertih,Salina Mat Ali, berkata program turun padang yang dikendalikan oleh klinik berkenaan memudahkan pelatih di pusat itu untuk mempelajari cara mengosok gigi seperti yang disarankan pihak terbabit.

Katanya, pihak pengurusan kelas PDK sentiasa bekerjasama dengan pelbagai agensi dan jabatan kerajaan dalam usaha memberi pendidikan dan bimbingan kepada pelatih terutama dalam bidang kesihatan.

Menurutnya, kelas berkenaan yang kini mempunyai 50 pelatih terdiri daripada Orang Kurang Upaya (OKU) beruntung kerana mendapat pelbagai kemudahan yang disediakan oleh kerajaan.

Salina berkata, walaupun sebahagian besar pelatih menghadapi masalah untuk melakukan sesuatu pergerakan kerana kecacatan tetapi mereka sebenarnya mampu menerima apa sahaja latihan dan bimbingan.

Beliau berkata, selepas diajar cara mengosok gigi yang betul mereka kemudian perlu menjalani pemeriksaan gigi oleh kakitangan bertugas.

“Menerusi program turun padang oleh jabatan terbabit ia diharap dapat memudahkan pelatih menerima latihan dan rawatan yang diberikan secara percuma,” katanya.