Halaman

12 June 2012

Misi bawa pulang Mohd Faizul berjaya

Oleh: Suriati Ali

USAHA Biro Pengaduan Awam Pergerakan Pemuda UMNO Kuala Terengganu membawa balik Mohd Faizul Rosli, 33, yang terkandas di Indonesia membuktikan kemampuan biro itu terus berjasa kepada rakyat.



Bantuan yang dihulurkan tanpa sebarang balasan itu antara matlamat utama penubuhan biro yang dipengerusikan Encik Badrul Hisham Zaki.

Mohd Faizul dari Kampung Ladang Sekolah, Kuala Terengganu yang berkahwin dengan Nopi Susanti, 27 dan menetap secara haram di Padang, Sumatera, Indonesia, selama empat tahun banyak membawa kisah duka di sebalik kehidupannya sehingga mendorong untuk kembali ke pangkuan keluarga.

Encik Badrul Hisham berkata, pihaknya dengan kerjasama kerajaan negeri tampil membantu selepas mengetahui kesukaran hidup yang dilalui Mohd Faizul di negara asing.

“Pihak kami sambil dibantu seorang kenalan yang juga ahli perniagaan di Jakarta, Indonesia mengambil masa dua minggu untuk membebaskan Mohd Faizul melalui jalan laut.

“Misi itu berjaya tanpa sebarang gangguan daripada pihak berkuasa Indonesia. Anak-anak dan isterinya pula, kami berusaha mendapatkan pasport sebelum dibawa pulang bersama Mohd Faizul ke Terengganu,” katanya

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas meraikan kejayaan misi membawa pulang Mohd Faizul ke Terengganu di Kediaman Seri Iman, Batu Buruk Kuala Terengganu, baru-baru ini.

Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said yang meluangkan masa hampir sejam bersama keluarga dan Ibu bapa Mohd Faizul sempat mendengar keluhan dan kisah kehidupan sepanjang berada di Indonesia.