Halaman

15 June 2012

Teganu Kita cecah 1 juta penonton

Oleh FAUZI MOHD

Rancangan Teganu Kita terbitan TV3 pada setiap Khamis mencapai rating jumlah penonton mencecah sejuta, kata Menteri Besar Dato' Seri Ahmad Said.



Menurut beliau, rancangan 20 episod berdurasi 30 minit itu menunjukkan peningkatan jumlah penonton melepasi sasaran yang ditetapkan sejak bersiaran 19 April lalu.

Katanya, rancangan kolaborasi bersama Kerajaan Terengganu itu terbahagi kepada pelbagai segmen dan topik istimewa sudah bersiaran sebanyak lapan episod.

"Baki 12 episod lagi dijangkakan mampu menarik lebih sejuta penonton setiap episod. Setiap minggu siaran ada peningkatan jumlah penonton.

"Saya difahamkan, rating Teganu Kita lebih tinggi berbanding siaran serupa iaitu Sayang Sarawak (Kerajaan Negeri Sarawak) dan Jom Terokai Perak (Kerajaan Negeri Perak)," katanya.



Beliau berkata demikian semasa membuat lawatan ke stesen penyiaran TV3 di Sri Pentas, Bandar Utama, Kuala Lumpur untuk menyaksikan pembikinan rancangan tersebut.



Mengiringi beliau, Pengarah Eksekutif (Berita dan Operasi Editorial) Media Prima, Datuk Ahmad A. Talib dan Pengarang Kumpulan Berita dan Hal Ehwal Semasa Media Prima, Datuk Manja Ismail.



Di kesempatan itu, beliau turut diberi taklimat berkaitan penerbitan slot Teganu Kita serta mengunjungi konti Hot FM.

Tambah Dato' Seri Ahmad, rancangan itu merupakan pelaburan kerajaan yang bukan sahaja mampu menaikkan imej Terengganu sekali gus mempromosi kejayaan Terengganu yang boleh dicontohi.

"Aspek pelancongan seperti mengetengahkan pulau peranginan, Tasik Kenyir, dan destinasi baru ditonjolkan sebagai persediaan menyambut Tahun Melawat Terengganu 2013," katanya.

Liputan di lokasi menarik dan menjadi tumpuan di seluruh Terengganu dengan gabungan tiga penyampai, Nik Suryani Megat Deraman, Khairul Irwan Rosli (Ikhwan Hotfm) dan Engku Azmin Engku Zaini.