Halaman

20 June 2012

Menteri Besar luang masa lawat keluarga pesakit leukemia

Oleh FAUZI MOHD

Ismaliana Ismail, 20, yang menderita penyakit leukemia sejak hampir setahun lalu mendapat perhatian Menteri Besar, Dato’ Seri Ahmad Said yang berkunjung ke rumah keluarga itu di Kampung Pulau Musang, Kuala Terengganu hari ini.

Anak ketujuh daripada lapan beradik itu dimasukkan ke Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) di Kubang Kerian, Kelantan buat kali ketiga sejak dua minggu lalu.

Bapa pesakit itu, Ismail Omar, 65, yang turut mengidap penyakit darah tinggi dan kencing manis memberitahu, anaknya itu disahkan mengidap leukemia oleh pihak Hospital Sultanah Nur Zahirah, dekat sini.

Derita berpanjangan akibat penyakit itu katanya, Ismaliana yang kini sedang dirawat di HUSM terpaksa melupakan tawaran melanjutkan pelajaran ke peringkat Ijazah Sarjana Muda di Universiti Teknologi Mara (UiTM) kampus Segamat, Johor.



“Ismaliana akan dibedah buat kali ketiga setelah berjaya mendapatkan air tulang belakang daripada keluarga terdekat,” katanya kepada pemberita.

Tambah Ismail, walaupun kerap sakit dan jatuh pengsan, Ismaliana berjaya menduduki peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) di Sekolah Menengah Kebangsaan Seri Nilam.

Ujarnya, beliau yang tidak mampu bekerja itu turut dibantu isteri, Aminah Abdullah, 55 dan anak-anaknya yang lain untuk menjaga Ismaliana termasuk membawanya ke hospital jika jatuh sakit.

Sementara itu, Dato’ Seri Ahmad berkata, remaja perempuan itu akan dibantu melalui peruntukan Tabung Penyakit Kronik yang diwujudkan kerajaan negeri.

“Kita akan dapatkan laporan kesihatan pesakit itu untuk menentukan bentuk bantuan yang akan kita hulurkan dalam masa terdekat,” katanya.

Turut hadir, Pegawai Pembangunan Dewan Undangan Negeri (DUN) Wakaf Mempelam, Wan Mahyuddin Wan Ngah.



Sejurus sepas itu, Menteri Besar turut menjengah pesakit asma, Endot Mat Min, 76 yang tinggal berjiran dengan keluarga Ismail.

Endot yang mengidap penyakit itu sejak lapan tahun lalu mempunyai lapan anak, 12 cucu dan seorang cicit dan menetap bersama anak perempuannya, Sabariah Muda, 40.