Halaman

14 June 2012

Manis FM medium alternatif baru salur maklumat, perkembangan negeri

Oleh: Aida Abd Rahman

Kerajaan Terengganu mewujudkan saluran radio baru, Manis FM sebagai medium alternatif bagi menyampai maklumat secara tepat dan terkini mengenai perkembangan negeri kepada seluruh rakyat tempatan dan juga Pantai Timur khasnya.



Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, berkata melalui radio yang diuruskan anak syarikat kerajaan negeri, Terengganu Incorperated (TI) lebih banyak maklumat mengenai kerajaan dapat disalurkan secara terus kepada sasaran pendengar.

“Insya-Allah bukan sahaja pelancaran (Manis FM) akan dilakukan pada Julai ini, malah pelbagai program akan dilaksanakan menerusi Manis FM dari masa ke semasa.

“Kita sudah mengatur program melibatkan pegawai kanan kerajaan negeri, pegawai daerah, dan agensi tertentu yang akan dijemput (ke udara) termasuk barisan exco untuk mencerita perkembangan portfolio, perancangan masa depan kerajaan supaya dihebah kepada rakyat Terengganu dan Pantai Timur,” katanya di sidang akhbar selepas mengadakan lawatan dan menjadi tamu radio itu, hari ini.

Turut hadir, Timbalan Setiausaha Kerajaan negeri (Pengurusan) Dato’ Wan Ahamad Wan Muda; Timbalan Pegawai Kewangan negeri, Haji Abd Rahman Yahya; Pengarah Eksekutif Manis FM, Haji Che Abd Rani Mohd dan Pengurus Besar Manis FM, Encik Mahari Abdul Rahman.

Dalam temuramah kira-kira 45 minit itu, Menteri Besar menyentuh mengenai projek pembangunan di Tasik Kenyir dan harapan kerajaan negeri terhadap golongan muda supaya memberi sokongan kepada kerajaan negeri bagi membolehkan lebih banyak program serta projek untuk kesejahteraan rakyat dilaksanakan pada masa depan.

Beliau turut mengingatkan rakyat Terengganu supaya mengubah sikap dalam aspek penjagaan kebersihan, selain pelbagai pendekatan yang digembleng kerajaan bagi memastikan negeri ini sentiasa bersih dan menjadi tarikan pelancong, sekaligus menjayakan Tahun Melawat Terengganu 2013.

Manis FM menggunakan `tagline’ ‘Pilihan Terunggul Di Pantai Timur’ merangkumi pelbagai segmen termasuk hiburan dan agama menemui pendengar 24 jam setiap hari.

Liputan stesen berkenaan boleh diikuti melalui gelombang 102.0 fm bagi mereka yang tinggal di kawasan Kuala Terengganu, Marang dan Hulu Terengganu; 90.6 fm (Besut, Kelantan dan Selatan Thailand) manakala 95.1 fm (Kemaman dan Pahang).