Halaman

11 June 2012

Maidam sedia rumah untuk fakir miskin

Oleh; Esah Abdullah

Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam) telah membina 170 buah rumah di seluruh negeri menggunakan wang zakat di bawah asnaf fakir miskin.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Haji Wan Harujan Sulaiman berkata, daripada jumlah itu 32 keluarga sudah berjaya menduduki rumah berkenaan iaitu di Kampung Air, Kemaman (16 keluarga) dan di Kampung Kubur Sharif Padang Nanas, Kuala Terengganu (16 keluarga).

“Sebanyak 38 unit lagi dibina di Kampung Banggol Peradong, Kuala Nerus (fasa 1) yang kini dalam proses pemilihan peserta,” katanya kepada pemberita di majlis Penyerahan Kunci Rumah Berkembar, Kawasan Kubur Sharif, Mukim Batu Rakit, Kuala Terengganu petang semalam.

Penyerahan kunci rumah telah dilakukan oleh Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Agama dan Penerangan negeri, merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) Tepoh, YB Haji Muhammad Ramli Noh.

Perumahan berkembar di kawasan Kubur Sharif mempunyai 40 unit dan harga setiap unit ialah RM45,000 dengan kos keseluruhan kira-kira RM2 juta, sumbangan Affin Islamik Bank (RM1 juta) manakala selebihnya oleh Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan Syarikat Air Terengganu (SATU) bagi kerja-kerja menyediakan kemudahan infrastruktur.

Manakala projek fasa 11 di Kampung Banggol Peradong yang membabitkan rumah teres 76 unit akan dimulakan selewat-lewatnya akhir tahun ini.

“Di samping rumah yang selesa dengan kelengkapan perabot seperti katil, sofa, meja makan, dapur serta almari, beberapa kemudahan lain dirancang termasuk kelas tambahan kepada anak-anak peserta dan pengangkutan jika perlu,” katanya.

Katanya, peserta yang berjaya menduduki rumah Maidam tidak akan diberi hak milik sebaliknya dikenakan sewa RM50 sebulan kerana konsep jabatan ialah membantu sementara mereka memiliki rumah sendiri.

Selain itu katanya, semua projek pembinaan rumah berkenaan menggunakan tanah milik kerajaan dan tidak menyasarkan mana-mana daerah asalkan ada kawasan yang sesuai.