Halaman

17 June 2012

Kadar kemiskinan turun 29 peratus

Oleh: Suriati Ali

Pelbagai program yang dilaksanakan kerajaan Terengganu berjaya mengurangkan kadar kemiskinan sehingga 29 peratus daripada lebih 42,000 rakyat yang dikategorikan miskin.

Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Masyarakat dan Wanita negeri Dato’ Yahya Khatib Mohamad berkata seramai 12,000 rakyat negeri Terengganu berjaya keluar daripada garis kemiskinan hasil bantuan pelbagai program kerajaan, khasnya program Kebajikan Rakyat 1Malaysia (KAR1SMA).

“Berdasarkan rekod Yayasan Pembangunan Keluarga Terengganu (YKPT) pada 2008, lebih 42,000 rakyat dikategori sebagai miskin dan mudah miskin.

"Namun, kini selepas pelbagai usaha dan insistif dilaksanakan, hanya terdapat 30,000 rakyat yang dikategorikan dalam kumpulan itu dengan pendapatan bulanan isi rumah bawah RM1,500 bagi kawasan bandar dan RM1,000 bagi kawasan luar bandar,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap di Majlis Karisma Selendang Biru Semarak Kasih di Taman Tamadun Islam, Pulau Wan Man, Kuala Terengganu, semalam.

Majlis yang dirasmikan Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said itu turut dihadiri isteri Menteri Besar, To’ Puan Norliza Mahmud; Pengerusi Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara, Tan Sri Napsiah Omar; Pengarah YPKT, Encik Mohd Sharuddin Mustaffa dan Pengarah Jabatan kebajikan Masyarakat, Encik Zuhaimi Omar.



Kira-kira 5,000 wanita khususnya ibu tunggal seluruh Terengganu membanjiri program itu.

Program itu bertujuan untuk memperkukuhkan peranan persatuan ibu tunggal di setiap daerah selain memperluaskan jaringan keusahawanan sedia ada.

Pelbagai aktiviti dianjurkan gerai pameran, gerai jualan, pertandingan memasak, gubahan sirih dan pertandingan mewarna.


Dato’ Yahya turut memberitahu, penurunan statistik sebanyak 29 peratus itu adalah hasil pelbagai program KAR1SMA terutama Azam Tani, Azam Niaga, Azam Kerja dan Azam Khidmat.

“Program yang berteraskan konsep keusahawanan sosial itu menawarkan bantuan barangan perniagaan dengan kadar maksimum RM5,000 seorang,” katanya.