Halaman

11 June 2012

Jutaan terima kasih kepada kerajaan- penerima bantuan

Oleh: Suriati Ali

“Bagaikan tiada perkataan yang patut diungkapkan melainkan jutaan terima kasih kepada kepimpinan kerajaan Terengganu yang sanggup membantu dan faham mengenai masalah yang dialami.

“Sekiranya tiada siapa yang sudi membantu, pastinya kami semua terus dibelenggu bebanan hutang akibat bencana yang dilalui pada Disember tahun lalu,” kata penerima Bantuan Bencana Alam yang juga petani dari Kampung Gong Tok Nasek, Kuala Terengganu, Ismail Awang, 64 atau dikenali sebagai Pok Wel.

Pok Wel yang menerima sumbangan RM38,000 antara 31 petani layak menerima bantuan pada Majlis Penyampaian Bantuan Bencana Alam Kepada Petani di Kediaman Seri Iman, Batu Burok, Kuala Terengganu, malam tadi.

Peruntukan RM228,000 itu disumbangkan Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani bagi membantu meringankan petani yang mengalami kerugian akibat banjir pada Disember tahun lalu.

Petani terbabit menerima bantuan antara RM600 hingga RM38,000 bergantung kepada keluasan tanah yang diusahakan.

Pok Wel turut memberitahu, wang yang diterima ini menjadi pembakar semangat untuk dia terus berbakti kepada tanah yang diusahakan sejak usia 12 tahun lagi.

“Wang ini tidak akan dibazirkan sebaliknya akan digunakan untuk membayar hutang lama, membeli benih padi, membayar upah kepada pembajak sawah dan selebihnya akan disimpan untuk kegunaan di waktu kecemasan,” katanya.

Seorang lagi petani, Endut Salleh, 74, yang menerima bantuan RM10,580, berkata dia buntu memikirkan kejadian pada Disember lalu kerana terpaksa menanggung kerugian ribuan ringgit.

“Saya terima semua itu dengan rehda dan percaya lambat laung pasti ada hikmah disebaliknya.

“Kesabaran dan kebuntuan selama ini bagaikan terbalas apabila saya dapat mengenggam cek pemberian kerajaan sebanyak RM10,580 ini,” katanya.