Halaman

21 June 2012

James Jam Jolly juara pidato bukan Melayu

Oleh; Esah Abdullah



James Jam Jolly, 25 dari masyarakat Iban, Sarawak muncul johan dalam Pertandingan Pidato 1Malaysia (Bukan Melayu) Peringkat Negeri Terengganu yang berlangsung di Sekolah Menengah Kebangsaan Sultan Ahmad, Kuala Terengganu hari ini.

James merupakan pelajar tahun dua Jurusan Bioteknologi Marin di Universiti Malaysia Terengganu (UMT) membawa pulang wang tunai RM1,500, plak dan sijil penghargaan.



Naib johan dimenangi Linggatharani a/p Kesavan, 21, pelajar di Maktab Perguruan Dato’ Razali Ismail dan berasal dari Pulau Pinang dan Wan Zainuddin Ali Aspar, 22, dari masyarakat Bajau Kudat, Sabah yang juga pelajar Ijazah Sarjana Muda Usuluddin Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) mendapat tempat ketiga dan masing-masing menerima RM1,000 dan RM500 beserta plak dan sijil penghargaan.

Manakala lima peserta menerima saguhati RM200 setiap seorang beserta plak dan sijil penghargaan yang disampaikan oleh Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Agama dan Penerangan negeri, YB Haji Muhammad Ramli Nuh.



Lapan peserta termasuk seorang masyarakat Iban, Bajau dan masing-masing tiga China dan India menyertai pertandingan anjuran Jabatan Penerangan Negeri Terengganu (JPNT) itu yang masuk tahun kedua setelah mula diperkenalkan tahun lalu.

Menurut Pengarah JPNT, Hajah Azizah Awang, pertandingan yang bertemakan nilai-nilai murni itu bertujuan meningkatkan kesedaran, pengetahuan serta kefahaman orang ramai mengenai dasar negara khususnya Gagasan 1Malaysia selain memperkasakan penggunaan bahasa kebangsaan di kalangan pelbagai kaum dalam kehidupan harian.

"Kita juga berharap dengan penganjuran program ini dapat menyubur serta mengekalkan semangat perpaduan di kalangan warga Malaysia, "katanya.