Halaman

01 June 2012

Dana hari raya untuk semua kaum

Oleh: Aida Abd Rahman

Hanya Terengganu yang mengamalkannya sejak lapan tahun lalu. Tiada negeri lain yang menyediakan peruntukan cukup besar bagi memastikan rakyat yang tidak berkemampuan gembira dan ceria sebaik mendapat manfaat ganjaran RM200 hingga RM400 seorang apabila tiba musim perayaan.

Kerajaan negeri tidak hanya mengeluarkan perbelanjaan menyedaikan dana hari raya kepada masyarakat Islam dan kaum Melayu sahaja, sebaliknya Cina dan India turut menerima tempiasnya apabila menjelang musim perayaan mereka.

Jika Dana Hari Raya Aidilfitri 2011 diperuntukkan sebanyak RM50.47 juta dengan 176,838 keluarga menerima manfaat itu, Dana Tahun Baru Cina bagi tempoh yang sama pula dinikmati 8,929 keluarga dengan peruntukan RM2.33 juta manakala Dana Deepavali melibatkan 212 keluarga dengan agihan RM58,600.

Untuk rekod, Kerajaan Terengganu memperuntukkan kira-kira RM335 juta bagi menyediakan Dana Hari Raya Aidilfitri bermula 2005 sehingga tahun lalu.

Daripada jumlah itu, seramai 146,543 penerima dengan peruntukan RM43,962,900 (2005), diikuti 153,162 penerima dengan peruntukan RM46,088,700 (2006) dan 162,066 penerima dengan jumlah RM49,540,300 pada 2007.

Manakala seramai 56,290 penerima melibatkan RM47,522,800 (2008), 166,029 penerima yang melibatkan RM50,616,400 (2009), 164,243 penerima dengan jumlah RM164, 243 (2010) dan 176,838 penerima dengan peruntukan RM50,472,400 pada tahun lalu.

Bagi Dana Tahun Baru Cina pula, sebanyak RM16.63 juta dibelanjakan kepada 58,838 penerima sejak 2005 hingga tahun ini, manakala RM239,000 pula disediakan untuk Dana Deepavali kepada 845 penerima sepanjang empat tahun sejak 2008.

Bantuan khas yang disediakan Kerajaan Terengganu kepada ketua keluarga yang berpendapatan bulanan RM1,500 ke bawah termasuk warga emas dan ibu tunggal itu tidak dilaksanakan di negeri lain, sekaligus mencerminkan keprihatinan pemimpin Barisan Nasional dalam memastikan rakyat mendapat pembelaan sewajarnya, khususnya ketika musim perayaan.

Malah, terbaru peruntukan Dana Hari Raya Aidilfitri dijangka bertambah 10 peratus lagi apabila kerajaan negeri bersetuju menaikkan kadar had kelayakan pendapatan bulanan ketua keluarga daripada RM1,500 kepada RM2,000 bagi memastikan lebih ramai menerima habuan itu bermula tahun ini.

Dalam laporan terbaru, kerajaan negeri akan membelanjakan kira-kira RM55 juta untuk dana hari raya bagi menambahkan keriangan rakyat berpendapatan rendah pada Aidilfitri ini.

Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, berkata dana itu dijangka mula diagihkan pada Ramadan ini dengan jumlah penerima dijangka meningkat 10 peratus berbanding tahun lalu.

"Tahun lepas kita beri kepada lebih 176,000 penerima dan tahun ini, kita jangka ia bertambah 10 peratus," katanya selepas mempengerusikan mesyuarat Exco di Wisma Darul Iman, semalam (30 Mei).

Dato’ Seri Haji Ahmad berkata, dana raya bakal diagihkan dalam tiga peringkat iaitu kepada warga emas sebanyak RM200, keluarga miskin dan orang kurang upaya (RM300) serta keluarga yang mempunyai ramai tanggungan (RM400).