Halaman

11 June 2012

Berakhirkah kisah derita Adam?

Oleh FAUZI MOHD

Empat tahun episod derita pesakit tumor saraf tunjang, Adam Akbar Ali, 10, bersama dengannya liku-liku perjalanan yang sukar.



Dunia kanak-kanak Adam sudah tertinggal begitu jauh, hospital dan klinik destinasi ‘pelancongan’ dia dan keluarga, puluhan doktor menjadi rakan barunya, wad serta bilik bedah terpilih sebagai lokasi ‘pengembaraan’.

Bapanya, Akbar Ali Mohamed Noordin, 43 terpaksa memilih untuk meninggalkan kerjaya sebagai Pensyarah di Universiti Teknologi Mara awal tahun lalu bagi memberi lebih tumpuan kepada Adam.

Walaupun pembedahan pertama di sebuah hospital di Singapura pada Julai 2010 menghabiskan RM250,000 dan pembedahan kedua di Hospital Kuala Lumpur pada November tahun lalu, derita Adam belum berakhir.

Kata bapanya, penyakit Adam itu kembali menjadi ‘teman’ anak sulongnya itu dan mengikut pandangan pakar-pakar perubatan, pembedahan seterusnya berisiko tinggi untuk lumpuh.

Apa yang lebih membimbangkan Akhbar dan isteri, Siti Rogayah Sheikh Ismail, 34, mereka tiada pilihan lain melainkan terpaksa berkompromi dengan risiko kehilangan nyawa.



Mungkin itu antara kisah derita yang terpaksa diharungi Adam sekeluarga yang hampir setiap hari membuat kiraan perbelanjaan pembedahan dan lebih menyayat hati, perhitungan untuk terus hidup atau sebaliknya.

Kata Akhbar, setelah melakukan siri perbincangan melalui panggilan telefon dan e-mail dengan oleh Pakar Neuro, Dr. George Jallo dari Hospital John Hopkins, Baltimore, Amerika Syarikat, persetujuan dicapai untuk melakukan pembedahan ke atas Adam pada 20 Jun ini.

“Kos pembedahan sahaja di Hospital John Hopkins pada asalnya RM300,000. Saya memberanikan diri untuk merayu bagi kurangkan kos itu.

“Setelah berbincang, Dr. Jallo setuju kecualikan yuran pembedahannya dan beliau juga berbincang dengan pihak Hospital itu untuk bantu Adam. Akhirnya, kos dikurangkan kepada RM175,000 .

“Dr. Jallo mampu yakinkan saya. Katanya, sebanyak 90 hingga 95 peratus tumor Adam boleh dikeluarkan dan risiko untuk anak saya menjadi lumpuh adalah minima,” jelas beliau yang kini menjadi Pensyarah sambilan.

Apa yang membuatkan Akhbar sekeluarga sedikit lega, kisah Adam mendapat perhatian Kerajaan Terengganu yang tampil menghulurkan sumbangan RM100,000 untuk membiayai pembedahan anaknya.



Sumbangan cek tersebut disampaikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Masyarakat dan Wanita negeri, Dato’ Yahya Khatib Mohamad di kediaman keluarga Adam, di Seksyen 7, Shah Alam, pagi tadi.



Dato’ Yahya berkata, sumbangan tersebut adalah keprihatinan Kerajaan Terengganu kepada Adam yang ditimpa musibah kesihatan yang memerlukan kos perubatan yang tinggi.

“Kerajaan Terengganu tampil membantu Adam walaupun beliau bukanlah rakyat Terengganu. Adam adalah penerima pertama bantuan Tabung Darul Iman melibatkan bukan rakyat Terengganu.

“Keputusan pemberian sumbangan ini dibuat dalam mesyuarat Exco yang lalu yang meluluskan RM100,000 untuk diberikan kepada Adam bagi membiayai pembedahan beliau di luar negara,” katanya kepada media selepas menyampaikan sumbangan tersebut kepada Adam.



Beliau berkata, bantuan kepada Adam diberikan kerana Kerajaan Selangor tidak memberikan bantuan kepada kanak-kanak tersebut, walaupun berita mengenai Adam telah disiarkan oleh media beberapa minggu sebelum ini.

“Kami berterima kasih kepada keluarga Adam kerana memberikan peluang kepada kami untuk menampung kos perubatan yang diperlukan,” katanya.

Bagi Akhbar, bantuan itu mencukupkan dana yang diperlukan untuk membiayai kos pembedahan Adam dengan jumlah terkumpul kini adalah RM182,500.

Beliau berkata, dana RM82,500 disumbangkan oleh orang ramai dan pertubuhan bukan kerajaan termasuklah RM20,000 dari 1MCA Medical Foundation.



“Saya berharap orang ramai akan mendoakan keselamatan kami dan pembedahan Adam berjaya dilakukan,” katanya.