Halaman

22 May 2012

YB. Mohd Nor Othman dipilih Tokoh Guru Terengganu

Oleh FAUZI MOHD
Gambar oleh Zulkipli Putra


Ahli Parlimen Hulu Terengganu, YB. Mohd. Nor Othman, 60, dipilih sebagai penerima anugerah Tokoh Guru Terengganu 2012 sempena sambutan Hari Guru ke-41 peringkat negeri semalam.

Beliau yang bersama profesion perguruan selama 33 tahun itu menerima wang tunai RM5,000, senaskah al-Quran, satu set persalinan dan trofi yang disampaikan oleh Menteri Besar, Dato’ Seri Ahmad Said.

Majlis yang dihadiri oleh kira-kira 3,000 warga pendidik dan pelajar berlangsung di Stadium Tertutup Kompleks Sukan Negeri di Gong Badak.



Hadir sama, Setiausaha Kerajaan negeri, Dato’ Mazlan Ngah; Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Penajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Sumber Manusia negeri, Ahmad Razif Abd. Rahman dan Pengarah Pelajaran negeri, Zakaria Hussin.

Mohd. Nor yang juga bekas Ketua Sektor Pengurusan Pembangunan Kemanusiaan, Jabatan Pelajaran negeri menyifatkan kerjaya sebagai guru sebagai ibadah untuk memotivasikan dirinya melaksanakan tanggungjawab dengan amanah dan cemerlang.


Beliau berazam untuk terus memberi sumbangan terhadap sektor pendidikan selaras dengan hasrat kerajaan negeri yang mahu dikenali sebagai negeri anjung ilmu dan kuasa baru pendidikan tanah air.

"Walaupun sudah bersara daripada arena perguruan, sebagai ahli Parlimen saya tetap mahu berperanan terutamanya dalam isu pendidikan. Malah saya masih lagi melibatkan diri dengan kegiatan PIBG (Persatuan Ibu Bapa dan Guru) daerah," katanya.

Mohd. Nor yang berasal dari Kampung Buluh, Kuala Berang adalah lepasan Universiti Kebangsaan Malaysia dalam bidang Pengajian Pendidikan Sejarah pada 1971 dan mula bertugas di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tun Telanai, Kuala Terengganu, pada 1976.



Sepanjang tempoh menjadi pendidik, beliau yang juga penerima Anugerah Guru Khidmat Cemerlang Kebangsaan pada tahun 1996 pernah ditugaskan dibeberapa buah sekolah antaranya SMK Tengku Ampuan Intan, SMK Landas, SMK Menerong dan SMK Ajil.

Sementara itu, turut menerima anugerah ialah Azran Ibrahim (Guru Pendidikan Khas Cemerlang), Zainudin Mat Ali (Guru Kelainan Upaya Cemerlang) dan Pejabat Pelajaran Daerah (PPD) Hulu Terengganu bagi kategori pengurusan PPD cemerlang.

Turut diraikan, Masitah Mohamad (Guru Pra Sekolah Inovatif) serta Mohd. Yusri Ibrahim, Nor Khatimah Ismail dan Wan Mohd. Amir Fazamin Wan Hamzah (Guru Sekolah Menengah Inovatif) dan Kamarulzaman Ismail (Tokoh Nilam).