Halaman

16 May 2012

Universiti Songkla kagum sistem pendidikan negara

Oleh; Esah Abdullah
 

Universiti Prince of Songkla, Thailand mengkagumi kecemerlangan sistem pendidikan negara yang dilihat berjaya meletakkannya ini setaraf negara maju menjadi faktor kepada negara jiran itu ingin mencontohi sistem akademik Malaysia.

Delegasi seramai 16 anggota daripada universiti itu diketuai Ahli Lembaga Penasihat , Encik Chuan Leekpai turut melihat sendiri proses sistem pendidikan negara serta melawat Universiti Malaysia Terengganu (UMT) dan Sekolah Menengah Sains Kuala Terengganu (Sester) dalam rangka lawatan dua hari ke Terengganu.


Encik Chuan yang juga bekas Perdana Menteri Thailand menyatakan rasa kagum terhadap sistem pendidikan Malaysia yang terlalu cepat berkembang dengan melahirkan generasi muda kreatif serta mampu muncul sebagai kuasa baru pendidikan di Asia Tenggara.

``Walaupun Thailand agak terkebelakang dalam bidang pendidikan,namun ada juga beberapa bidang ia mendahului Malaysia daripada segi kemajuan teknologi seperti bidang pertanian dan kesihatan,’’ katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mendengar taklimat pendidikan di Sester, semalam. Turut hadir Presiden universiti itu Profesor Dr Boonsom Siribumrangsukha.

Sementara itu Penolong Kanan Pentadbiran Sester, Encik Jamil Sakmim mengalu-alukan kedatangan rombongan dari universiti tersebut yang dianggap amat bermakna untuk bertukar idea terutama dalam bidang pendidikan.

`` Sebagai sebuah sekolah berasrama penuh, saya bangga kerana terpilih untuk dijadikan model kepada pendidikan di negara jiran itu serta bercadang mengadakan kunjungan balas bagi melihat lebih dekat pendidikan di sana,’’ ujarnya.