Halaman

14 May 2012

Tunai haji buat 50 penjawat awam terima APC

Oleh; Esah Abdullah



Seramai 50 orang penjawat awam pelbagai peringkat menerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) Peringkat Negeri Terengganu 2012 yang disampaikan Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said di Dewan Besar, Wisma Darul Iman hari ini.



Kesemua penerima anugerah ini merupakan ‘insan bertuah’ kerana akan dibawa menunaikan haji ke Tanah Suci Makkah beserta wang tunai RM5,000.

Kerajaan Terengganu merupakan satu-satunya negeri di negara ini yang memberi anugerah tunai haji dan umrah kepada penjawat awam yang cemerlang termasuk imam, bilal dan ketua kampung yang dinilai setiap tahun.

Pemergian mereka ke tanah suci itu tentunya melalui penerbangan terus dari lapangan Terbang Sultan Mahmud ke Jedah yang dilaksanakan kerajaan dengan syarikat penerbangan Saudi Arabian Airlines yang kini memasuki tahun ketiga.

Pesuruhjaya Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT), Haji Mohd Rozali Salleh,56, yang telah bertugas selama 32 tahun sebagai penjawat awam telah mengepalai penerima APC.

“Anugerah ini sangat bererti kepada penjawat awam sebagai penghargaan dan tanda keyakinan kerajaan kepada mereka dalam menyampaikan perkhidmatan kepada rakyat,” katanya selepas menerima anugerah pagi ini.

Menurutnya, inilah kerajaan untuk rakyat yang sentiasa memberi penghargaan dan pengiktirafan kepada siapa saja yang menunjukan prestasi baik ketika bertugas.

Katanya, amalan ini amat sesuai dengan dasar kerajaan merakyatkan pentadbiran dan pembangunan serta rakyat didahulukan dan pencapaian diutamakan (peringkat pusat) satu slogan yang dipraktikkan bersungguh-sungguh.

Bagi Timbalan Rektor TATiUC, Haji Zulkifli Mohamad,56, pencapaian sesuatu matlamat itu memerlukan kerja berpasukan hasil gabungan ketua jabatan hingga kepada pembantu pejabat dan ini bertepatan bila anugerah diberikan kepada semua penjawat awam daripada Gred R4 (pemandu) hingga Gred Utama ‘C’.

“Pendekatan yang diambil kerajaan negeri begitu unit kerana dengan memberi anugerah menunaikan fardu haji dan umrah kepada individu ini dapat mendekatkan lagi seseorang itu kepada konsep kesyukuran,” katanya.

Tambahnya, pemberian ini tidak terhenti setakat itu saja malah ia memberi dorongan dan semangat serta inspirasi kepada yang terbabit untuk bekerja lebih baik sekali gus menjadi satu ibadat bagi umat Islam.