Halaman

06 May 2012

Tempo kayuhan Shahrul kian padu


Oleh : Aida Abd Rahman

Tujuh tahun lalu hati kecil pemuda ini pernah memasang angan untuk memiliki basikal lumba yang mahal selain dilengkapi aksesori yang berkualiti dan berjenama.

Angannya berlalu sebaik juga langkah kakinya jauh melewati kedai basikal yang sentiasa dikunjungi di Jalan Sultan Mahmud, Kuala Terengganu ketika mula-mula berjinak bersama rakan sekampung dalam sukan berbasikal itu.

Pemuda yang lahir di Kampung Bukit Cerana, Bukit Payong, Mohd Shahrul Mat Amin, 21, (gambar) kini mampu mengukir senyum penuh makna apabila namanya kini mula menyinar dalam sukan ekstrim yang juga merealisasikan impiannya untuk mengayuh basikal berharga lebih RM25,000 seunit.

Setiap kejayaan menjejakkan kaki di podium dengan kejuaraan pertama kali dalam Kejohanan Lumba Basikal Kriterium Shah Alam pada 2004 menutup segala sindiran dan tebakan kata-kata negatif mengenai penglibatannya dalam arena itu tidak mampu memberi pulangan kepada masa depannya.

“Ketika awal penglibatan dulu, bukan sahaja segelintir orang kampung melihat usaha saya ini sia-sia dan tiada masa depan, malah ada guru sekolah juga menasihati saya memilih hala tuju dan bidang lain yang dikatakan lebih terjamin,” kata pelumba yang bernaung di bawah Terengganu Pro-Asia Cyling Team (TSG) itu.

Bagaimanapun, Mohd Shahrul cukup bertuah ketika berlegar cemuhan di luar sana, keluarganya pula banyak memberi dorongan dan kata perangsang terutama kedua orang tuanya, Mat Amin Said, 63 dengan Fatimah Muda, 53.

Keluarganya itu kadangkala meluangkan masa dan tenaga memandu beratus kilometer demi menyaksikan dan memberi semangat kepada anak bongsu daripada lima beradik di beberapa siri kejohanan daripada lebih 50 pertandingan yang mula disertai sejak enam tahun lalu.

Selaku pemegang jersi putih hasil kejuaraan acara lepas beramai-ramai elit lelaki Kejohanan Berbasikal Kebangsaan 2011 sejauh 176 kilometer bangsaan 2011 sejauh 176 kilometer bangsaan 2011 sejauh 176 kilometer dengan masa 4 jam 18 minit 47.263 saat pada 26 Jun lalu.

Kejayaan itu juga membaiki kedudukan di tempat kedua di belakang pelumba negara, Mohamad Adeq Husainie Othman pada kejohanan serupa tahun sebelumnya.

Sebelum menjuarai kejohanan berprestij itu, bekas penuntut Sekolah Menengah Kebangsaan Tun Telanai, Marang itu terlebih dahulu meraih juara acara elit lelaki di Kejohanan Grand Prix Kebangsaan 2011 sirkit Melaka (GP Melaka) di Bukit Katil sejauh 156 kmm.

Pada 2008, Shahrul mengenggam dua emas dalam Sukan Malaysia Ke-12 Terengganu bagi kategori lebuh raya berpasukan dan individu, selain merekod dua kejuaraan, masing-masing di MTB Mont Kiara dan Terbuka Singapura.

Selain itu, pemuda yang menjadikan pelumba negara, Suhardi Hassan dan pelumba sensasi Kazakhstan, Alexandre Vinokourov sebagai idola ini juga merangkul juara di Jelajah Malaysia pada peringkat pertama ketika mewakili pasukan Angkatan Tentera Malaysia dua tahun lalu.

Atlet muda yang berketinggian 165 sentimeter dan berat 56 kilogram ini tetap mahu terus menabur bakti bersama pasukan TSG yang dinaunginya sejak 2010 selepas menamatkan khidmatnya hampir dua tahun bersama pasukan kebangsaan.

“Bersama TSG sebuah pasukan yang dibentuk kerajaan negeri ini, saya lebih yakin dan bersemangat kerana TSG mempunyai hala tuju dan jaminan masa depan, malah mempunyai sasaran jelas untuk menaiki divisyen dua,” katanya yang turut merangkul kejuaraan di peringkat keempat dalam siri Jelajah Brunei , selain tempat keempat di Kejohanan Grand Prix Kebangsaan 2011 Sirkit Rantau Panjang tahun lalu.

Selepas mengharungi cabaran bersama rakan sepasukan di Le Tour de Langkawi 2012, Ahmad Shahrul yang turut memberi tentangan sengit ketika jelajah Le Tour de Taiwan dengan kedudukan terbaik di tangga keempat ( peringkat keempat) , berpegang kepada prinsip `tiada mustahil demi menggapai impian ’ dan nekad untuk membaiki prestasi semasa serta menjejakkan kaki di podium yang diiktiraf di peringkat antarabangsa.