Halaman

16 May 2012

T-Team pintas Terengganu

Oleh: Aida Abd Rahman

Pertembungan skuad Terengganu dengan Sarawak malam tadi yang berkesudahan seri, 2-2 menyebabkan kedudukan Sang Penyu dalam liga kian merosot, malah dipintas pasukan adik, T-Team yang berjaya menumpaskan Sabah, 2-1.

Perlawanan diharungi T-Team di Stadium Likas itu menyaksikan anak buah Yunus Alif meledak dua gol menerusi penyerang Fadzli Saari pada minit ke -29 dan 68 bagi mengatasi pasukan tuan rumah.

Pada awalnya, tuan rumah berjaya mengikat T-Team hasil sepakan penalti minit 32 yang dihasilkan pemain import baru mereka, Hendrik A Helmke, sebelum usaha Penyu Junior berada di depan dan membawa pulang tiga mata berharga bagi membaiki kedudukan dalam liga berhasil.

Dalam pertembungan di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu pula, tuan rumah gagal memanfaatkan peluang beraksi di laman sendiri apabila gagal menyempurnakan beberapa percubaan tepat ke kubu lawan.

Kegagalan skuad yang bakal dikemudikan jurulatih baru, Peter Butler itu berpunca daripada barisan pertahanan diketuai Muslim Ahmad yang gagal mengekang asakan pelawat pada minit ke-40.

Bagaimanapun, tuan rumah meningkatkan momentum serangan sebelum berjaya menyamakan jaringan menerusi penyerang, Abdul Hadi Yahya. Sarawak sekali lagi berada di depan apabila Khairul Azhar Idrus berjaya memperdaya penjaga gawang Terengganu, Sharbinee Allawee untuk gol kedua pelawat pada minit 54.

Terengganu yang memasukkan Erison De Silva Santos pada separuh masa kedua menggantikan Ashaari Shamsudin dilihat berjaya meningkatkan asakan ke kubu lawan.

Pemain import Terengganu itu berjaya menghasilkan gol kedua pada minit ke-68 untuk mengikat kedua-dua pasukan sehingga wisel terakhir.