Halaman

03 May 2012

Sultan Mizan berkenan berangkat merasmikan MGA


Oleh: Suriati Ali
Gambar oleh Zulkipli Putra.

Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin berkenan berangkat ke Majlis Malam Gala Antarabangsa (MGA) di Ri-Yaz Heritage Resort, Pulau Duyong, Kuala Terengganu, malam tadi.

Baginda diiringi Sultanah Terengganu, Sultanah Nur Zahirah tiba di majlis anjuran Universiti Malaysia Terengganu, kira-kira jam 8.35 malam. 


Turut mengiringi, Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said bersama isterinya, To’ Puan Norliza Mahmud; Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Haji Mazlan Ngah; Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains & Teknologi dan Sumber Manusia negeri, YB Haji Ahmad Razif Abd Rahman; beberapa barisan exco lain dan Naib Canselor UMT, Prof Datuk Dr. Ibrahim Komoo.

Sebaik baginda berdua tiba, lagu Negaraku dan Selamat Sultan dipersembahkan.

Naib Canselor UMT, Prof Datuk Dr. Ibrahim menyatakan rasa bangga kerana MGA mampu menghimpunkan pelajar dan bekas pelajar UMT daripada pelbagai negara, bangsa, agama dan budaya, di mana mereka boleh bergaul serta bertukar-tukar pandangan.


“Pada masa sama, mereka boleh melihat serta mempelajari tarian tradisional dari negara Indonesia China, Arab, India dan Sudan yang dipersembahkan pelajar berkaitan.
“Tidak ketinggalan tarian tradisional Terengganu dan dikir barat untuk dipersembahkan,” katanya.