Halaman

02 May 2012

Semua jentera diminta bantu BN

Oleh: Suriati Ali

Semua jentera BN termasuk golongan muda diminta bersama-sama perkemas barisan bagi membantu parti itu mengekalkan kemenangan serta merampas kembali kawasan yang dikuasai parti pembangkang.

Barisan Nasional (BN) yakin hasil kerjasama semua sayap dalam parti, kerajaan di bawah kepimpinan Menteri Besar, Dato’ Seri Ahmad Said pasti mendapat sokongan penuh daripada seluruh rakyat yang cintakan keamaman.

Ketua Penerangan Umno Terengganu YB Haji Ahmad Razif Abdul Rahman berkata, pihaknya tidak mahu semangat ahli-ahli itu bermusim terutama ketika menjelang pilihan raya saja, sebaliknya terus mendokong semangat kerjasama bersama sayap lain.

“Kerajaan memperjuangkan kepentingan bangsa Melayu dan sebarang usaha menganggu hak keistimewaan kaum Bumiputera mesti dipertahankan.

“Kita perlu bekerja keras mendekati dan memberi penerangan kepada rakyat, terutama golongan muda yang mungkin tidak begitu menghayati apa yang diperjuangkan oleh pemerintah hari ini,” katanya.

YB Razif turut memberitahu penerangan Umno negeri membuat penerangan berterusan untuk meneruskan penyampaian maklumat kepada rakyat di setiap peringkat Dewan Undangan Negeri di Terengganu, sebagai persiapan awal menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) ke 13.

“Apabila maklumat sampai kepada rakyat, membolehkan mereka tahu apa sebenarnya yang sedang, telah dan akan dilakukan oleh pihak kerajaan di bawah kepimpinan Barisan Nasional (BN) untuk masa depan mereka.

“Pada masa yang sama penerangan juga perlu diberikan kepada rakyat tentang kepalsuan pembangkang yang berjuang semata-mata untuk mendapat kuasa, tetapi gagal membela rakyat dan mentadbir negeri bila diberikan kuasa,” katanya.