Halaman

28 May 2012

PMINT labur RM400 juta laksana projek pembangunan

Oleh: Suriati Ali

Perbadanan Memajukan Iktisad Negeri Terengganu (PMINT) dijangka melabur RM400 juta bagi melaksanakan beberapa projek pembangunan hartanah, termasuk pembinaan tempat letak kereta bertingkat bagi mencantikkan bandar Kuala Terengganu pada masa depan.

Pengurus Besar PMINT, Dato’ Haji Osman Muda berkata, langkah itu menggambarkan keseriusan kerajaan negeri untuk menyediakan kemudahan kepada rakyat.

"Sesetengah daripada projek ini sudah dilaksanakan seperti projek perumahan, sementara tempat letak kereta bertingkat dijangka dibina bersebelahan bangunan Wisma PMINT," katanya pada sidang media PMINT baru-baru ini.

Dato' Haji Osman berkata, projek pangsapuri kos rendah KP Perdana di Kampung Kubang Parit di sini bernilai RM141 juta, mengandungi 120 unit rumah berkelulusan 700 kaki persegi.

“Projek itu sedang menunggu kelulusan sijil menduduki (CF) dari Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) yang dijangka diperoleh bulan depan.

“Rumah tersebut dijual pada harga RM65,000 seunit dan telah ditawarkan kepada pembeli yang disenaraikan oleh bahagian perumahan pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri,” katanya.

Dato’ Haji Osman berkata, projek lain yang dibina adalah projek pangsapuri mampu milik Pulau Duyong yang mengandungi 11 blok dengan keseluruhan 176 unit serta keluasan lantai 844.75 kaki persegi setiap unit.

Katanya, projek pangsapuri itu juga dalam proses mendapatkan kelulusan CF dan dijual pada harga RM42,000 seunit bagi rumah kos rendah dan RM68,000 seunit bagi rumah mampu milik.

“Projek seterusnya yang sedang dilaksanakan oleh PMINT ialah projek PB (Paya Bunga) Square setinggi 19 tingkat yang menelan belanja lebih kurang RM170 juta dan dijadualkan siap pada Julai 2013,” katanya.

Dato’ Haji Osman berkata, pihaknya sedang mencari pembeli yang berpotensi untuk jualan blok hotel 19 tingkat manakala yang lain dibuka untuk permohonan sewaan yang diuruskan oleh bahagian pengurusan harta PMINT, yang kini siap 46.02 peratus.

Projek tempat letak kereta sembilan bertingkat adalah merupakan projek terbaharu yang akan dilaksanakan oleh PMINT bagi mengatasi masalah tempat letak kereta di pusat bandar raya itu terutamanya pada waktu pejabat dan cuti umum.

Beliau berkata, kawasan Jalan Engku Embong Fatimah di sini telah dipilih sebagai lokasi pembinaan tempat letak kereta bernilai kira-kira RM60 juta.

Dato’ Haji Osman berkata, ia mengandungi 718 lot tempat letak kereta, lapan lot kedai, pusat boling dan panggung wayang.