Halaman

31 May 2012

Peruntukan kebersihan tinggi, mentaliti masyarakat rendah

Oleh: Aida Abd Rahman

Menteri Besar kesal dengan mentaliti masyarakat Terengganu yang masih gagal menjaga kebersihan persekitaran sedangkan kerajaan memperuntukan jumlah hampir RM40 juta setahun bagi menjayakan usaha itu.

Dato’ Seri Haji Ahmad Said, berkata masih banyak ruang dan peluang yang boleh ditingkatkan dalam aspek kebersihan bagi memastikan seluruh pihak berganding bahu memanfaatkan peruntukan besar yang disediakan kerajaan khususnya bagi membiayai kontrak kebersihan bermula dari sempadan Terengganu-Kelantan sehingga sempadan Terengganu-Pahang.

“ Pelbagai kerja kontrak kebersihan dilakukan termasuk memotong rumput, mengangkut sampah dan membersihkan longkang. Bagaimanapun, masih banyak lagi longkang tidak diuruskan dengan sempurna. Sudah menjadi tabiat orang kita mencampak puntung rokok, sampah-sarap..kertas serta plastik di bahu-bahu jalan terutama di kawasan lampu isyarat.

“Saya berharap budaya menjaga kebersihan di kalangan masyarakat kita berubah..sebab itu saya masih tidak berpuas hati. Pagi jalan raya bersih bagaiamanapun apabila menjelang petang sudah mula ada sampah dan kekotoran disebabkan sikap pengguna jalan raya termasuk masyarakat kita yang tidak prihatin dengan kebersihan,” katanya di sidang media selepas majlis penyampaian hadiah Pertandingan Kebersihan dan Keceriaan Kampung Peringkat Negeri Terengganu 2011/2012, di Padang Sekolah Kebangsaan Sultan Sulaiman I, Kuala Terengganu, petang semalam (30 Mei).


Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato' Mazlan Ngah; Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Infrastruktur dan Kemudahan Awam negeri, Datuk Za'abar Mohd Adib dan Pengerusi Jawatankuasa Agama dan Penerangan negeri, Haji Khazan Che Mat.

Menteri Besar turut tidak berpuas hati dengan sikap segelintir kakitangan awam yang gagal mengurus kuaters kerajaan yang didiami mereka sehingga kotor dan ditumbuhi semak-samun.

Katanya, sebagai penjawat awam, penghuni kuaters berkenaan seharusnya mengambil inisiatif bergotong-royong sesama mereka pada setiap petang untuk membersihkan kawasan persekitaran tempat tinggal mereka.

Malah, apa yang lebih dikesalkan lagi ada di kalangan penghuni kuaters bertindak membela haiwan ternakan dan membina reban sehingga mencemarkan pandangan serta persekitaran, selain mengganggu ketenteraman jiran tetangga.

“Sesetengah daripada penghuni kuaters bertindak membela ayam dan ternakan sehingga kacau ganggu jiran. Perkara ini mesti dielakkan,” katanya.