Halaman

16 May 2012

Perkaya tubuh pusat tahfiz untuk lahir imam muda

 Anak-anak yatim gembira selepas menerima pakaian Hari Raya yang disampaikan isteri Menteri Besar, To' Puan Seri Norliza Mahmud di Kediaman Seri Iman, Kuala Terengganu. - Gambar oleh Zulkipli Putra.


Oleh; Esah Abdullah

Pertubuhan Anak-anak Yatim Terengganu (Perkaya) akan menubuhkan sebuah Pusat Tahfiz di kawasan seluas 1.5 hektar di Jerangau, Dungun dengan kos RM400,000.

Yang Dipertua Perkaya, Dato’ Dr Haji Tengku Mahmud Mansor berkata, tanah berkenaan telah diwakafkan oleh isteri allahyarham Dato’ Haji Awang Jabar, To’ Puan Mariam Abdullah kepada Perkaya.

“Kawasan itu telah ada sebuah kompleks yang bernilai hampir RM1 juta, merangkumi kolam renang, kolam ikan, dewan yang boleh menampung 100 orang , lima bilik untuk tetamu serta kemudahan wakaf rehat,” katanya kepada pemberita selepas majlis Penyampaian Pakaian Raya kepada anak-anak yatim daerah Kuala Terengganu di Kediaman Seri Iman hari ini (16 Mei).

 Isteri Menteri Besar, To’ Puan Seri Hajah Norliza Mahmud telah merasmikan majlis berkenaan dan menyampaikan sumbangan pakaian raya kepada 667 orang pelajar yatim dari 81 buah sekolah dalam daerah Kuala Terengganu.

Katanya, Perkaya akan membina satu blok bangunan tiga tingkat di kawasan itu untuk menampung 150 orang anak yatim yang akan dididik untuk menjadi imam-imam muda pada masa hadapan.

Menurutnya, pusat ini terbuka kepada semua anak-anak yatim di seluruh negeri dan sekurang-kurangnya mendapat 3B dalam peperiksaan Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) dan sebagai permulaan 20 pelajar akan memula sesi pembelajaran pada Januari tahun depan.

 “Matlamat kita mahukan anak-anak yang hafal al Quran dan juga cemerlang dalam akademik di mana mereka akan dihantar belajar ke Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Jerangau.

Katanya, hajat Perkaya selepas habis di SMK mereka akan meneruskan pengajian mereka di Universiti Kolej Bestari untuk mengikuti kursus latihan persediaan selama setahun sebelum membuat Ijazah untuk tempoh tiga tahun.

“Hasrat kita biarlah seramai 11,636 orang anak yatim yang ada diluar asrama dapat mengambil manfaat ini untuk meningkatkan pengetahuan dalam bidang al-Quran,” katanya.

Sehubungan itu, Perkaya telah membelanjakan RM75,000 untuk membeli pakaian raya kepada 1,102 anak yatim di seluruh negeri tahun ini.