Halaman

15 May 2012

Penjawat awam bantu capai aspirasi kerajaan

Oleh; Esah Abdullah

Kakitangan kerajaan diharap dapat memacu sektor awam ke arah kecemerlangan dan seterusnya mencapai aspirasi yang telah ditetapkan oleh kerajaan.

Setiausaha Kerajaan, Dato’ Haji Mazlan Ngah berkata, penjawat awam perlu melihat semula peranan secara berterusan, meningkatkan pengetahuan serta kemahiran bagi memastikan negeri terus berdaya saing.

“Impak kepada cabaran tersebut memerlukan agensi perkhidmatan melakukan transformasi serta menuntut anjakan paradigma bagi memastikan perkhidmatan awam negeri terus kekal relevan,” katanya di majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) Peringkat Negeri Terengganu di Dewan Besar Wisma Darul Iman semalam.

Beliau meminta penjawat awam terus mengamalkan sifap kesederhanaan dalam apa juga tindakan, sentiasa rendah hati, berbudi bahasa dalam pergaulan dan saling menghormati satu sama lain kerana agama Islam juga menuntut umatnya sentiasa bersifat wasatiah dalam kehidupan.

Menurutnya, cabaran utama hari ini ialah memastikan penjawat awam dapat melaksanakan peranan sebagai jentera pentadbiran kerajaan yang dinamik mengikut keperluan persekitaran serta memenuhi aspirasi kepimpinan negeri.

“Setiap organisasi menetapkan peranan masing-masing untuk memenuhi keperluan pelanggan dan stakeholder yang perlu diamalkan serta peka terhadap perubahan sekeliling,” katanya.

Dato’ Haji Mazlan mengingatkan tidak ada sikap memilih bulu kalangan penjawat awam yang memberi keutamaan kepada tetamu bertaraf ‘kenamaan’ sahaja, sebaliknya rakyat biasa dilayan seperti melepas batuk di tangga.

Sehubungan itu beliau yakin , 50 penjawat awam yang menerima APC telah bekerja keras bukan hanya untuk mencapai peluang ini tetapi kerana cintakan kerja, bangsa dan negeri.

“Tahniah kepada semua penerima APC yang terpilih, semoga kualiti dan kecemerlangan terus menjadi teras kepada budaya kerja kita,” katanya.

Majlis berkenaan disempurnakan Menteri Besar Dato’ Seri Haji Ahmad Said sekali gus menyampaikan hadiah berupa pakej tunai haji ke Makkah beserta wang tunai RM5,000 kepada penjawat awam terpilih.