Halaman

13 May 2012

Lima murid Terengganu wakili bola sepak di Croatia

Lima anak Terengganu terpilih daripada 24 pemain cilik bagi mewakili negara pada kejohanan bola sepak Piala Cappy di Croatia pada 21 hingga 30 Mei ini.

Jurulatih yang juga pengurus pasukan Encik Mat Noor Bidin berkata kesemua pemain yang dipilih oleh Majlis Sukan Negara (MSN) bakal menyahut cabaran bersaing di pentas dunia sekaligus mencari pengalaman di kejohanan berkenaan.
"Hanya Malaysia dari Asia yang dijemput untuk menyertai kejohanan bertaraf dunia itu," katanya kepada pemberita sebelum berangkat ke Bukit Jalil untuk menjalani latihan intensif sebelum berlepas ke Croatia pada 20 Mei ini.

Turut hadir pegawai-pegawai dari Majlis Sukan Negeri (MSN) Terengganu serta ibu bapa pemain-pemain berkenaan.

Encik Mat Noor berkata, pemilihan pemain untuk skuad negara itu telah dibuat daripada 60 orang pemain dari seluruh Malaysia yang dipanggil untuk latihan dan pemilihan dari 23 hingga 28 April lalu.