Halaman

29 May 2012

Kad Hijau Kepada Bakal Kontraktor

Oleh: Nurul Aziela Saberi

Seramai 60 peserta telah memperolehi Kad Pendaftaran Personel Binaan, Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB) atau lebih dikenali dengan Kad Hijau setelah lima hari mengikuti dua kursus iaitu Kursus Induksi Keselamatan Dan Kesihatan Untuk Pekerja Binaan dan Kursus Personel Binaan anjuran Akademi Binaan Malaysia Wilayah Timur.



Khusus ini turut membabitkan tiga kawasan iaitu di Darat Kijal (rumah), Kg. Tengah (rumah) dan di Teluk Kalong (sangkar burung) untuk melakukan kerja-kerja praktikal mereka dalam menyempurnakan skop kursus masing-masing.

Menurut Pengarah CIDB Terengganu, Encik Ahmad Fahrin Mokhtar, dengan adanya Kad Hijau CIDB seseorang pekerja binaan akan dilindungi oleh Takaful insurans sebanyak RM21,000 sekiranya berlaku sebarang kemalangan sama ada di tempat kerja mahupun di luar tempat kerja dan mereka juga layak untuk mengikuti kursus sebagaimana yang telah dilalui oleh peserta-peserta pada minggu ini.

Tambah beliau lagi, dengan adanya Sijil Kecekapan Kemahiran yang dikeluarkan oleh pihak CIDB Malaysia, seseorang pekerja atau kontraktor akan memperolehi 40 CCD point bagi tujuan penyambungan lesen pendaftaran kontraktor dengan CIDB nanti.



Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said amat berterima kasih kepada pihak CIDB Terengganu dan Akademi Binaan Malaysia Wilayah Timur kerana telah berjaya menganjurkan kursus seperti ini untuk anak-anak muda menceburi bidang kontraktor.

Beliau juga turut melahirkan rasa kecewa dengan sikap sesetengah kontraktor yang mempunyai lesen kemudian meng “Ali Baba” kan lesen mereka kepada orang lain. Perbuatan mereka ini bukan sahaja merugikan mereka sendiri malah akan menyebabkan berlakunya penyelewengan ke atas lesen mereka.

“Dengan adanya kursus seperti ini, peserta dapat memanfaatkan ilmu dan kemahiran yang diberi untuk menjadi seorang kontraktor yang berjaya kelak,” katanya ketia merasmikan majlis penutup kursus tersebut di perkarangan Taman Bimbingan Kanak-Kanak, Teluk Kalong Kijal.