Halaman

04 May 2012

Jelajah 1Malaysia medan pelumba Terengganu ke Olimpik

Oleh: Aida Abd Rahman

Tempoh enam hari kejohanan perlumbaan basikal Jelajah 1Malaysia 2012 yang bermula 8 Mei ini bakal menjadi medan terakhir kepada beberapa atlet berbasikal lebuh raya negara berasal dari Terengganu untuk bersaing bagi memenuhi satu kuota ke Olimpik London Julai ini.

Jelajah berbasikal tertua negara itu bakal disertai sekurang-kurangnya tiga pelumba dalam senarai pendek Persekutuan Berbasikal Kebangsaan Malaysia (PKBM), iaitu Mohd Harrif Salleh, Mohd Zamri Salleh (TSG) dan Amir Mustafa Rusli (Drpac Professional Cycling, Australia).

Seorang lagi pelumba negara dari kelab Champion System, Mohd Adiq Hussainie Othman juga dijangka mengambil bahagian selepas berdepan dengan masalah visa untuk menyertai kejohanan di Amerika minggu depan.

Timbalan Presiden Persekutuan Berbasikal Kebangsaan Malaysia (PKBM) Datuk Naim Mohamad, berkata Mohh Adiq diberi pilihan untuk mewakili pasukan Kuala Lumpur atau pasukan kebangsaan bawah 23 tahun.

Katanya, rundingan masih dibuat oleh pihak-pihak berkenaan bagi menetapkan status jaguh pelumba basikal lebuh raya negara itu.

Selain itu, pelumba berkenaan bersama pasukan trek akan menjalani latihan intensif di Belgium selama 22 hari sebelum ke Olimpik nanti.