Halaman

15 May 2012

IVF HSNZ catat kejayaan membanggakan

Oleh: Suriati Ali
Gambar oleh Zulkipli Putra


Program persenyawaan dalam tabung uji (IVF) yang dikelolakan Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) mencatatkan kejayaan membanggakan apabila 20 bayi termasuk sepasang kembar berjaya dilahirkan sejak program itu diperkenalkan November 2009.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Perpaduan dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Dr A Rahman Mokhtar, berkata HSNZ menjadi hospital ketiga menawarkan perkhidmatan itu secara sepenuhnya selepas Hospital Kuala Lumpur dan Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar.

Katanya, kerajaan negeri membelanjakan kira-kira RM1 juta bagi melaksanakan perkhidmatan IVF terutama menyediakan pelbagai peralatan dan pengubahsuaian dewan bedah di HSNZ.

“HSNZ mempunyai tiga orang doktor pakar yang mengendali program IVF dengan diketuai pakar perunding Dr Mohd Zulkifli Mohd Kassim.

“Program yang diperkenalkan HSNZ dianggap murah iaitu antara RM2,000 hingga RM3,000 berbanding apa yang dilaksanakan hospital swasta dengan kadar harga RM30,000 hingga RM40,000.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Program Sambutan Hari Kesihatan Sedunia dan Hari Kesedaran Penyakit Kronik peringkat negeri Terengganu, di Kampung Paya, Marang.

Hadir sama, Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu, Dr Haji Anwa Sulaiman; Timbalannya, Dr Muhammad Omar; Pegawai Kesihatan Daerah Marang, Dr Hajah Faizan Ghazali dan Ketua Pergerakan Wanita Umno Bahagia Marang,To’ Puan Hajah Zaitun Mat Amin.

Menurutnya, pakar perubatan akan memeriksa secara menyeluruh kepada pasangan yang ingin menjalani IVF, selain perlu melalui beberapa prosedur tertentu bagi mengetahui sama ada sesuai atau sebaliknya.

“Jika salah seorang pasangan itu mengalami masalah seperti benih kurang subur, ianya tidak dapat dilakukan.

“Tidak semua apa yang dilaksanakan ini menemui kejayaan, ada juga yang gagal disebabkan pelbagai faktor yang tidak dapat dielakkan
Dr A Rahman, berkata pihaknya menerima banyak permohanan daripada pasangan dalam tempoh setahun dan tidak semua yang memohon itu layak untuk menjalani perkhimatan IVF.