Halaman

16 May 2012

HNSZ sedia bantu pesakit Neorofibromatosis

Oleh: Suriati Ali

Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) bersedia membantu pesakit Neorofibromatosis, Md Rahim Yatim, 57, yang dialaminya sejak 30 tahun lalu, menjalani imbasan di kepala dan mendapatkan rawatan lanjut.

Imbasan yang bakal dijalani dalam tempoh terdekat itu bagi mengetahui sama ada masalah lumpuh yang dialami pesakit enam bulan lalu, berpunca daripada penyakit itu atau sebaliknya.

Pakar Perubatan (Kulit) HSNZ, Dr Chong Yew Thong, berkata peluang penyakit itu akan diwarisi tiga anak Md Rahim adalah 50 peratus dan ia menyerang populasi masyarakat negara ini dalam 1:4000 orang.

“Sekiranya kedua –dua ibu bapa turut mempunyai penyakit itu, peratusan untuk anak menghidap lebih tinggi. Dalam kes Md Rahim ia diwarisi daripada ibunya yang turut mengalami penyakit sama.

“Penyakit Neorofibromatosis yang juga dikenali sebagai von recklinghausen boleh mengakibatkan lumpuh sekiranya ia menyerang organ dalaman dengan menekan saraf-saraf,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan sesi lawatan ke rumah pesakit di Kampung Jerung Seberang, Marang, kelmarin.

Hadir sama dalam kunjungan itu, Timbalan Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu (JKNT), Dr Muhammad Omar dan Isteri Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pengkalan Berangan, To’ Puan Rosnani Ngah dan beberapa pemimpin setempat.

Menurutnya, dalam kes ini, mangsa diserang ketumbuhan pada kulit yang teruk, tetapi ada juga kes tidak menunjukan benjolan tetapi tetap menghidap Neorofibromatosis.

“Saya mengsyorkan mangsa mendapatkan rawatan lanjut di HSNZ bagi menjalani rawatan lanjut, termasuk melakukan sesi imbasan di kepala bagi mengenalpasti punca lumpuh separuh badan,” katanya.

Dalam laporan Teganukita semalam, Pesakit yang mengalami penyakit kulit atau dikenali sebagai Neorofibromatosis, Md Rahim Yatim, 57, reda dengan musibah yang dialami walaupun pakar perubatan mengesahkan beliau tidak akan sembuh.

Beliau yang mempunyai tiga cahaya mata itu kini turut mengalami masalah lumpuh di bahagian badan kiri bermungkinan kesan daripada penyakit keturunan yang dialami sekarang.

Md Rahim berkata, dia terhutang budi dengan mana-mana pihak yang mengambil berat mengenai masalah yang dialaminya walaupun menyedari penyakit itu tidak mampu pulih.
“Penyakit kulit yang dialami mula dikesan sejak umur 25 tahun lalu di mana pada ketika itu terdapat dua hingga empat biji saja di bahagian leher,” katanya.