Halaman

29 April 2012

Rumah mampu milik jika BN menang di Wakaf Mempelam

Oleh: Aida Abd Rahman

Jika rakyat di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Wakaf Mempelam memastikan Barisan Nasional (BN) mampu merampas semula DUN yang sudah 33 tahun dikuasai pembangkang, kerajaan BN akan membangunkan 1,000 unit rumah mampu milik di kawasan itu.



Usaha kerajaan yang bakal terlaksana selepas Pilihan Raya umum (PRU) ke-13 itu mampu memberi kelegaan kepada penduduk yang tiada rumah untuk memiliki rumah sendiri.

Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, berkata kerajaan BN melaksanakan pelbagai kemudahan dan pembangunan yang dimanfaatkan seluruh rakyat DUN berkenaan walaupun kawasan itu sudah lama dikuasai Pas.

“Walaupun sudah 33 tahun menguasai kawasan Wakaf Mempelam ini, wakil rakyat Pas gagal buat apa benda satu pun di sini (tiada pembangunan dan kemudahan. Semua ini kerajaan BN buat..Dana Hari Raya, bantuan pakaian sekolah, Dana Remaja, Bantuan Rakyat 1Malaysia dan sebagainya.

"Malah, kalau BN menang pada PRU nanti, saya akan memastikan DUN ini dibina 1,000 unit rumah mampu milik rakyat. Kita sudah lihat dan kenal pasti tapak seluas 50 ekar iaitu tanah tambun bekas tanah paya di Kubang Parit..kos sebuah rumah mungkin ditentukan berdasarkan harga semasa dengan memberi subsidi kepada rakyat," katanya di Majlis bertindik Kanak-Kanak Peringkat DUN Wakaf Mempelam, di Dataran JKKK Kampung Wakaf mempelam, semalam (28 April).

Hadir sama, Pegawai Pembangunan Parlimen, Dato' Wan Ahmad Farid Wan Salleh; Pegawai Pembangunan DUN Wakaf Mempelam, Haji Wan Mahyuddin Wan Ngah; Ketua Pergerakan Pemuda Umno Kuala Terengganu, Encik Badrul Hisham Zaki dan pemimpin setempat.

Katanya, bagi merealisasikan perancangan itu, penduduk di DUN itu diharap mampu membuat perubahan dan memilih kerajaan yang benar-benar menjaga kebajikan dan kepentingan mereka sebagai rakyat.