Halaman

17 April 2012

Projek Empangan Hulu Terengganu utama pekerja tempatan

Oleh: Kamarudin Mat Akib dan Fauzi Mohd

Kerajaan negeri akan memastikan penduduk tempatan diberi keutamaan untuk bekerja di tapak pembinaan Projek Hidroelektrik Hulu Terengganu, berhampiran Tasik Kenyir, yang sedang dalam pembinaan.



Menteri Besar Dato’ Seri Haji Ahmad Said, berkata setakat ini pihaknya dimaklumkan sekurang-kurangnya 40 peratus daripada keseluruhan pekarja yang terlibat dalam pembinaan empangan tersebut terdiri daripada penduduk tempatan.

Kini terdapat 500 pekerja ditempatkan di tapak pembinaan projek itu dan jumlahnya akan ditambah kepada 1,500 orang pada waktu puncak pembinaannya.

“Kita mahu pihak Tenaga Nasional Berhad (TNB) memastikan 60 peratus daripada pekerja yang terlibat dengan pembinaan empangan ini mestilah terdiri daripada penduduk tempatan bagi memberi peluang yang lebih luas kepada mereka untuk bekerja di sini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mendengar taklimat mengenai projek bernilai RM1.6 bilion itu yang disampaikan oleh Naib Presiden TNB, Dato’ Ir Nazri Sharuddin di tapak projek di Kampung Tembat, Hulu Terengganu, petang ini.

Hadir sama Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri, YB Haji Rozi Mamat dan Dato’ Toh Chin Yaw; Ahli Dewan Undangan Negeri Kuala Berang, YB Zawawi Ismail dan ketua-ketua jabatan kerajaan serta pegawai kanan TNB.

Terdahulu, Dato’ Ir Nazri berkata, projek tersebut yang dimulakan pada Januari 2010 dijangka siap sepenuhnya pada Disember 2015.

Beliau berkata, sehingga ini prestasi projek itu hampir mencapai 20 peratus siap dan berjalan mengikut jadual di mana jangkaan tangkungan air bermula pada November 2014.

Projek yang melibatkan kawasan takungan air seluas 6,130 hektar itu apabila siap kelak mampu menjana 250 megawat kuasa elektrik.



Beliau berkata, projek itu akan melibatkan takungan air di Tasik Puah seluas 6,000 hektar dan Tasik Tembat (130 hektar).

Menteri Besar dan rombongan kemudiannya dibawa melawat di beberapa kawasan pembinaan, termasuk terowong pengaliran keluar air sejauh 1,175 meter yang hampir siap dibina.