Halaman

15 April 2012

Profesor turun padang tingkat kesedaran masyarakat

Oleh: Aida Abd Rahman

Inisiatif kumpulan profesor turun padang menemui masyarakat kampung mampu memberi kesedaran secara langsung kepada masyarakat supaya lebih `celik ilmu’ serta berkongsi maklumat mengenai kepakaran, pengetahuan dan pengalaman dari segi akademik dan profesional dalam pelbagai bidang.

Sehubungan itu, Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, berkata program yang julung kali dilaksanakan Majlis Profesional Negara (MPN) di Terengganu dengan lokasi pilihan di Kampung Gong Tok Nasek, Dewan Undangan Negeri (DUN) Batu Burok itu harus disokong semua pihak terutama masyarakat kampung.

“Selama ini kita dengar orang politik yang turun padang, tetapi kali ini orang yang berada di menara gading ini sudah mula memberi kerjasama melibatkan diri dalam memberi kesedaran secara langsung kepada masyarakat bawahan yang sesetengahnya tidak mempunyai taraf pendidikan yang tinggi.

“Sebelum ini pelajar pengajian tinggi yang selalu berjumpa masyarakat kampung, kini golongan profesor turun melihat sendiri hati nurani rakyat di peringkat bawahan,” katanya di sidang akhbar selepas merasmikan Karnival Profesor Turun Padang, Kampung Gong Tok Nasek, Kuala Terengganu, semalam (13 April).

Hadir sama, Pegawai Pembangunan DUN Batu Burok, Dato' Che Mat Jusoh dan Pengerusi MPN, Prof Emeritus Dato’ Dr Zakri Abdul Hamid.

Menteri Besar berkata, usaha turun padang itu juga mampu memberi peluang kepada kumpulan profesor melihat sendiri penambahbaikan yang boleh diusahakan secara kerjasama dengan kerajaan negeri.

Beliau turut memuji langkah murni MPN kerana berjaya membawa semua profesor yang melibatkan 14 kluster dalam bidang dan kepakaran masing-masing ke kampung itu.

Antara kluster berkenaan ialah pendidikan dan pembangunan modal insan, ekonomi dan kewangan, politik, keselamatan dan hal ehwal antarabangsa, sains dan matematik, kejuruteraan, teknologi dan alam bina, sumber asli dan alam sekitar, industri dan inovasi, farmasi dan sains gunaan serta pembangunan sosial dan kesejahteraan.