Halaman

03 April 2012

Permaisuri bukan lagi 'pekan koboi', projek hartanah terbaru RM11 juta

Oleh FAUZI MOHD

Bandar Permaisuri yang merupakan sebuah pusat pentadbiran utama bagi daerah ini dijangka berubah wajah apabila Majlis Daerah Setiu (MDS) akan membina dua bangunan kedai serta rumah teres bernilai lebih RM11 juta pada tahun ini.

Pelaksanaan tiga projek berkenaan di tiga lokasi sekitar bandar ini mendapat peruntukan daripada kerajaan negeri, Pusat dan pihak swasta.

Ia dilihat akan merancakkan lagi pembangunan daerah Setiu yang turut mendapat perhatian daripada pelbagai agensi kerajaan yang berkaitan.

Yang Dipertua MDS, Ishamudin Hashim berkata, daripada peruntukan itu, pihaknya akan membina sebuah bangunan dua tingkat yang menempatkan enam unit ruang kedai serta pejabat berhampiran Bank CIMB, di sini yang berharga RM3 juta.

Beliau berkata, bangunan tersebut akan dikendalikan secara usahasama dengan UDA Land bagi membantu pihak berkuasa tempatan (PBT) yang sedang berusaha menaikkan imej bandar itu yang suatu ketika dahulu sunyi serta sepi.

Menurutnya, MDS juga akan membina 21 unit kedai tiga tingkat di Bandar Permaisuri yang dianggarkan menelan kos kira-kira RM4 juta.

"Kami turut membangunkan 15 unit rumah teres dua tingkat berharga RM4 juta di satu kawasan berhampiran perumahan kakitangan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) daerah Setiu di Kampung Putera Jaya.

"Dengan pembinaan ketiga-tiga projek itu, ia secara tidak langsung akan menambahkan lagi bangunan kedai serta perumahan yang sedia ada," katanya baru-baru ini.

Ishamudin memberitahu, PBT itu juga menyediakan peruntukan sejumlah RM300,000 untuk projek pengindahan kawasan bandar termasuk landskap.

Menurutnya, keceriaan sekitar Bandar Permaisuri perlu diberi perhatian sepanjang masa kerana ia merupakan nadi arus pembangunan, selain menjadi tumpuan orang ramai dari luar serta daerah berkenaan.