Halaman

20 April 2012

Pelajar di minta elak jadi mangsa pembangkang

Oleh: Suriati Ali

Semua pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) Swasta dan Awam di Terengganu perlu mengelak daripada menjadi kuda tunggangan pembangkang dalam isu pinjaman Yayasan Terengganu (YT) dan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).

Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains & Teknologi dan Sumber Manusia negeri, YB Haji Ahmad Razif Abd Rahman, berkata ini kerana desakan pihak tertentu supaya menarik balik pinjaman YT dan janji pemansuhan pinjaman PTPTN oleh Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim hanya sekadar umpan.

Katanya, dia kesal dengan sikap segelintir pembangkang yang sememangnya menunjukkan sikap tidak bertamadun apabila sanggup melalak dan melaung apa saja yang tidak berpuas hati di depan bangunan Wisma Darul Iman, kelmarin.

“Perkara itu tidak sewajarnya berlaku kerana hanya sekadar membuang masa dan tenaga kerana Yayasan Terengganu (YT) tetap dengan syarat yang ditetapkan iaitu menarik balik pinjaman pelajar terlibat,” katanya

Katanya, pembangkang bijak mengumpan pelajar semata-mata mahu melaksanakan agenda mereka termasuk mengadakan demonstrasi jalanan.

“Pembangkang kini beralih kepada penuntut IPT kerana sudah tiada pihak lain yang boleh diperalat.
Kalau dulu semasa pilihan raya umum 2008, pembangkang menggunakan Hindraf, kini masyarakat India sudah kurang memberi sokongan,” katanya.

“Saya harap selepas ini pelajar tidak mengadaikan masa depan mereka semata-mata terpengaruh dengan hasutan pihak pembangkang sebaliknya beri tumpuan kepada pelajaran untuk membina masa depan yang gemilang,” katanya.

Kerajaan bertegas menarik balik pinjaman sembilan pelajar yang terlibat dengan perhimpunan haram di Dataran Hayyu Asyier, Mesir walaupun ada pihak menghantar memorandum supaya tindakan itu dibatalkan.

Tindakan itu dilakukan selepas tidak puas hati dengan jawapan kepada surat tunjuk sebab yang dikemukakan kepada mereka sebelum ini setelah didapati terlibat dengan kes salah laku tersebut.