Halaman

01 April 2012

Pekebun kecil perlu dampingi RISDA

Oleh FAUZI MOHD

Pekebun kecil getah dinasihatkan melakukan proses membaja mengikut kaedah yang betul bagi memastikan pembesaran pokok getah tidak terbantut dan mampu menghasilkan susu berkualiti.



Menteri Besar, Dato’ Seri Ahmad Said berkata, pekebun kecil perlu mendampingi pihak RISDA bagi mendapatkan perkembangan terkini teknologi berkaitan dengan pengeluaran dan penghasilan susu getah.

Katanya, RISDA mempunyai kepakaran bagi meningkatkan mutu serta hasil getah para pekebun kecil melalui teknik terbaru dan kaedah pembajaan yang betul.

"Klon-klon getah terbaru yang ditanam akan subur serta dapat mengeluarkan hasil yang banyak dan secara tidak langsung memberikan hasil berlipat ganda kepada pekebun kecil.

"Klon-klon terbaru tidak mendatangkan hasil yang baik jika kita masih menggunakan kaedah lama tetapi kalau ikut nasihat RISDA kita akan mendapat susu getah yang bermutu tinggi," katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Pelancaran Kasihi Pekebun dan Gerakan Membaja peringkat negeri di Kampung Perasing Jaya, Jabor, Kemaman hari ini.



Pada majlis itu, Dato’ Seri Ahmad turut menyampaikan bantuan program pembangunan RISDA negeri berjumlah RM15.32 juta dan RM771,000 untuk program peningkatan produktiviti getah melibatkan 771 pekebun kecil.

Turut disampaikan, bantuan berjumlah RM70,000 untuk Program Tuisyen Desa kepada tujuh buah sekolah melibatkan 105 anak pekebun kecil yang menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun ini.



Sementara itu, anak syarikat RISDA, Espek Sdn. Bhd. turut menyerahkan zakat perniagaan kepada 167 pekebun kecil yang layak berjumlah RM66,844, iaitu sebanyak RM400 seorang.

Syarikat itu bersama Kolej RISDA turut melaksanakan program tanggungjawab sosial korporat dengan menyampaikan sumbangan RM2,000 masing-masing kepada Masjid Kampung Perasing Jaya, Kemaman dan Masjid Teluk Kalong, Kijal.

Sejurus selepas itu, Menteri Besar menyertai gimik pelancaran membaja pokok getah di ladang peserta RISDA kampung itu.