Halaman

17 April 2012

PAS = Parti Ajaran Sesat – bekas pemimpin Pas

Oleh: Kamarudin Mat Akib

‘Memang benar jika Pas dikatakan Parti Ajaran Sesat’, begitu luah bekas pemimpin Pas yang disegani sewaktu berada dalam parti itu, tetapi kini menjadi penyokong setia Umno dan Barisan Nasional.

Raja Ayub Raja Kechik, 60, merupakan Ahli Jawatankuasa Pas Bahagian Besut, menjadi penyokong setia parti tersebut selama berpuluh-puluh tahun sebelum mengambil keputusan keluar dari Pas.

“Dulu saya masuk Pas kerana pemimpinnya mahu memperjuangkan Islam. Semua benda yang dilakukan oleh Umno, pemimpin Pas kata tak betul dan menyeleweng dari ajaran Islam.

“Pas mengkafirkan Umno kerana Umno bergabung dengan MCA dan MIC. Tetapi kini, Pas pula bergabung dengan DAP, bukankah itu lebih teruk daripada yang dilakukan oleh Umno,” soal beliau.

Beliau berkata, pemimpin tertinggi Pas termasuk Presidennya, Dato’ Seri Abdul Hadi Awang berpeluk dengan orang kafir, apa hukumnya?

“Kita mahu mendengar penjelasan pemimpin Pas berhubung perkara ini. Dulu mereka memulau masjid-masjid di negeri ini, tetapi bila Pas berkuasa di Terengganu mereka sembahyang di masjid-masjid yang dibina oleh Kerajaan BN,” katanya.

Katanya, dulu Pas mengharamkan haiwan yang disembelih oleh orang Umno, kini adakah ia tidak haram lagi.

“Begitu banyak tindakan yang dilakukan pemimpin Pas pada suatu ketika dulu, kini seolah-olah tidak lagi menjadi kesalahan dan halal di sisi agama. Apa semua ni, pemimpin Pas perlu menjawab kepada umat islam di negara ini,” ujarnya bersungguh-sungguh.

Raja Ayub berkata, berdasarkan perlakuan pemimpin Pas sekarang ini, mereka sanggup menjual agama bagi meraih sokongan daripada masyarakat bukan Islam.

“Saya minta sungguh-sungguh agar rakan-rakan karib saya yang masih berada dalam Pas supaya memikir perkara ini semasak-masak dan mengambil keputusan berlandaskan fakta dan kebenaran.

“Sebenarnya tidak ada apa lagi yang mahu diperjuangkan oleh pemimpin Pas sekarang ini kerana mereka sudah tidak menghiraukan soal menegakkan negara Islam seperti sebelum ini.

“Pemimpin Pas kini hanya mahukan kuasa dan membolot segala kekayaan untuk diri mereka. Ini sudah terbukti apabila mereka menang di Terengganu, ramai sahabat karib dan penyokong setia Pas diketepikan.

“Pemimpin Pas hanya membolot kekayaan untuk mereka dan keluarga masing-masing manakala pengikut dan penyokong setia parti dilupakan begitu saja. Ini perwatakan sebenar pemimpin Pas, sama ada di peringkat bawahan mahu pun atasan,” katanya.

Berdasarkan keadaan itu, kata Raja Ayub, beliau dan rakan-rakannya meninggalkan perjuangan parti itu dan kini menyertai Umno.

“Cukuplah apa yang dilakukan selama ini. Saya dan rakan-rakan tidak mahu membuang lebih banyak masa untuk menyokong Pas, sebaliknya kami menyokong Umno kerana kami sedar apa yang diperjuangkan oleh Umno sebenarnya lebih baik berbanding yang dilakukan oleh Pas,” katanya.