Halaman

05 April 2012

TDM bakal bina KTS baru

Oleh: Suriati Ali



Kerajaan negeri melalui anak syarikat Terengganu Development Management (TDM) Berhad, akan membina Hospital Pakar Kuala Terengganu (KTS) baru membabitkan peruntukan lebih RM170 juta di Batu Burok, Kuala Terengganu.

Hospital setinggi lapan tingkat dan dilengkapi 130 katil itu akan menggantikan KTS di Jalan Kamarudin, Kuala Terengganu yang kini beroperasi pada tahap kapasiti dan hampir maksima.

Pengerusi TDM Berhad, Datuk Haji Roslan Awang Chik, berkata KTS yang bakal dibina awal Jun nanti di kawasan seluas 2.4 hektar bakal menjadi sebuah hospital pakar terulung di Bandar Raya Kuala Terengganu di mana berupaya memberi rawatan kepada kira-kira 338,000 penduduk.

Katanya, KTS di Jalan Kamarudin bakal ditamatkan operasi sebaik KTS baru dapat operasi sepenuhnya kelak iaitu pertengahan 2014 nanti.

“Hospital ini akan menyediakan kemudahan penjagaan kesihatan yang lebih sempurna dan komprehensif kerana turut menyediakan kelengkapan seperti lima dewan bedah, bilik rawatan rapi (ICU) dengan dilengkapi 12 katil dan 281 petak tempat letak kereta.

“Hospital sedia ada yang mempunyai 33 buah katil, satu ICU dengan dua buah katil dan dua dewan bedah tidak lagi kondusif, beroperasi pada tahap kapasiti atau hampir maksima,” katanya kepada pemberita selepas Mesyuarat Agong Luar Biasa TDM di Hotel Primula, Kuala Terengganu, hari ini.

Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif syarikat itu, Badrul Hisham Mahari dan Ketua Pegawai Eksekutif KTS, Cik Zawiah Shariff.

Datuk Haji Roslan, langkah itu membuktikan TDM Berhad sentiasa komited dalam pelaburan berasaskan sektor kesihatan di negara ini setelah kejayaan syarikat itu mengendalikan dua hospital, Kelana Jaya Medical Centre (KJMC) dan Kuantan Medical Centre (KMC) sejak 1996.

Katanya, TDM yang turut mengambilalih Taman Desa Medical Centre (TDMC), Kuala Lumpur pertengahan tahun lalu yakin pelaburan yang dibuat itu mampu memberi pulangan yang baik kepada syarikat.