Halaman

16 April 2012

MB serah pada pihak berkuasa

Oleh: Suriati Ali

Menteri Besar, Dato Seri Ahmad Said menyerahkan sepenuhnya kepada pihak berkuasa untuk mengambil tindakan berlandaskan undang-undang terhadap tindakan individu yang membakar bendera Umno dan memotong gambarnya di atas kain rentang.

Jelasnya lagi, tindakan tidak bermoral pihak yang terlibat memberi gambaran bahawa sama ada mereka sakit jiwa ataupun terdesak hingga sanggup melakukan perbuatan sedemikian.

“Saya harap polis menyiasat perkara ini berlandaskan undang-undang dan ini dan selaku orang politik kita tidak boleh takut dengan perkara sebegini sama ada penghinaan ataupun makian.

“Kita berpegang pada pepatah iaitu kalau takut dilambung ombak, jangan berumah di tepi pantai dan begitulah juga situasi yang terpaksa dilalui orang yang terlibat dalam politik ini,” katanya.

Dato’ Seri Haji Ahmad, bagaimanapun tidak berhasrat untuk mengambil tindakan secara peribadi terhadap individu atau kumpulan yang terbabit, sebaliknya menyerahkan sepenuhnya kepada pihak berkuasa untuk mengambil tindakan.

Sinar Harian kelmarin melaporkan, Pergerakan Pemuda Umno Cawangan Makam Lama, bertindak membuat laporan polis di Balai Polis Chabang Tiga, di sini, berikutan kejadian membakar bendera Barisan Nasional (BN) dan Umno yang di pasang di tepi parit tali air di Jalan Kubang Buyong, Chabang Tiga di sini.

Tindakan itu dibuat berikutan kesal dengan kejadian yang dipercayai akibat khianat itu dan laporan polis dibuat bertujuan untuk memastikan individu yang terlibat dikenakan tindakan sewajarnya.

Sementara itu, dalam kejadian berasingan, kain rentang yang memaparkan wajah Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said yang di pasang berhampiran Sekolah Kebangsaan (SK) Losong turut dirosakkan.

Gambar wajah Menteri Besar itu telah dipotong dan ditampal pada bunting yangd dipasang berhampiran memaparkan gambar seorang penyanyi popular yang akan membuat persembahan pada satu konsert di Kuala Terengganu.