Halaman

19 April 2012

Maidam ubah dasar agihan bantuan kepada asnaf

Oleh; Esah Abdullah

Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam) telah mengubah dasar agihan bantuan bulanan kepada penerima yang layak mengikut kepentingan isu rumah dan mula dibayar pada Mac lalu.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Haji Wan Harujan Sulaiman berkata, sebelum ini kadar bantuan kepada asnaf ialah RM300 tanpa mengira jumlah tanggungan atau ahli isi rumah.

“Melalui kajian yang dibuat menunjukkan 80 peratus penerima adalah warga emas yang tinggal bersaorangan atau berdua manakala selebihnya ibu tunggal, keluarga miskin serta keluarga bermasalah yang mempunyai tanggungan ,” katanya dalam sidang media di Wisma Darul Iman semalam.

Katanya, dasar baru yang digunapakai sekarang adalah RM250 bagi penerima seorang diri, RM350 tinggal berdua dan RM450 mereka yang mempunyai tiga hingga lima tanggungan.

Sehubungan itu , di bawah dasar baru berkenaan, Maidam telah menambah peruntukan bagi agihan bulanan kepada asnaf berjumlah RM7 juta berbanding RM6.8 juta tahun lalu.

Menurut Haji Wan Harujan, daerah Kuala Terengganu mempunyai jumlah penerima tertinggi iaitu 1,075 orang membabitkan RM300,700 sebulan, Marang 279 penerima (RM73,150), Dungun, 233 penerima (RM65,950), Besut , 225 (RM60,050), Hulu Terengganu, 105 (RM28,800), Kemaman, 69 (RM18,150) dan Setiu, 50 (RM13,600).

“90 peratus pembayaran bulanan dibuat melalui akaun bank penerima manakala selebihnya melalui kaunter zakat daerah masing-masing disebabkan penerima uzur, cacat atau bermasalah untuk berurusan dengan bank,” katanya.

Menurutnya, pembayaran melalui bank lebih mudah kerana tidak membabitkan wang tunai tapi risiko tetap ada bila berlaku kematian terhadap penerima dan waris lambat memaklumkan perkara berkenaan manakala Maidam terus membuat bayaran ke akaun si mati.

Namun katanya, baru-baru ini terdapat dua kes di mana waris penerima telah datang ke pejabat untuk mengembalikan wang yang telah dibayar ke akaun penerima yang telah meninggal dunia.

“Saya kagum dengan sikap tanggung jawab waris penerima ini yang telah mengembalikan semula kepada pihak Maidam,” katanya.