Halaman

07 April 2012

MAIDAM salur RM30 juta untuk pendidikan anak Terengganu

Oleh FAUZI MOHD

Majlis Agama Islam dan Adat Melayu (MAIDAM) mengeluarkan peruntukan sebanyak RM30 juta tahun ini berbanding RM19 juta tahun lalu bagi memenuhi keperluan pendidikan di negeri ini.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Wan Harujan Sulaiman berkata, peruntukan itu merangkumi kesemua keperluan dalam bidang pendidikan termasuk membiayai pengajian pelajar di universiti tempatan dan luar negara.

Beliau memberitahu, tambahan peruntukan itu dibuat berdasarkan pendekatan MAIDAM yang komited membangunkan bidang pendidikan dalam kalangan pelajar Terengganu sejajar dengan hasrat kerajaan negeri.

Jelasnya, daripada RM30 juta yang diperuntukkan tahun ini, RM2.2 juta adalah khusus untuk mengurus serta membiayai pengajian hampir 800 pelajar Terengganu di universiti tempatan dan luar negara.

Menurutnya, jumlah itu mencatatkan peningkatan berbanding RM1.2 juta yang diperuntukkan bagi tujuan sama tahun lalu.

"MAIDAM sentiasa komited untuk membangunkan bidang pendidikan dalam kalangan anak Terengganu kerana hanya dengan pendidikan sahaja mampu mengubah masa depan kehidupan seseorang," katanya semalam.

Beliau menyatakan demikian kepada pemberita selepas menyerahkan surat tawaran penajaan MAIDAM kepada pelajar cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia yang bakal menyambung pengajian dalam bidang perubatan di Jordan.

Menurut Wan Harujan, pihaknya turut menaja kira-kira 50 pelajar bagi meneruskan pengajian di Al-Ansar tahun ini berbanding 36 pelajar tahun lalu.

"Bagi mereka yang ingin menyambung pengajian ke Al-Ansar, mereka perlu memenuhi syarat yang ditetapkan iaitu mendapat 5A iaitu dalam Bahasa Melayu, Matematik, al-Quran dan al-Sunnah, Syariah Islamiah serta Agama Islam dan tiada C dalam mana-mana subjek," ujarnya.