Halaman

21 April 2012

Lokasi `happening' jadi tarikan bantu promosi

Oleh: Aida Abd Rahman

Lokasi `mengujakan’ berhampiran pasar raya Maiden Mall dan Giant, Kuala Terengganu dijangka mampu menarik tumpuan orang ramai terhadap Pentas Promo yang diwujudkan Yayasan Pembangunan Usahawan Terengganu (YPU) bermula kelmarin (18 April).

Ketua Pegawai Eksekutif YPU, Haji Azmi Razik berkata, YPU memilih lokasi yang strategik dan mudah dikunjungi bagi menempatkan Pentas Promo yang boleh dimanfaatkan oleh usahawan baru mempromosikan pelbagai produk mereka.

“Promosi merupakan satu kaedah yang penting bagi memastikan perniagaan dapat dijual dan meningkat maju. Inilah peluang kepada peniaga dan usahawan untuk mereka memperkenalkan produk kepada orang ramai.

“ Apabila mereka sudah maju kelak mungkin boleh mengembangkan perniagaan di tempat lain ataupun memilih menjalankan perniagaan di premis yang kekal dan lebih besar kelak,” katanya di sidang akhbar selepas merasmikan Pentas Promo dan Bazar TTC, di T’Kafe Foof Court, Padang Hiliran, Kuala Terengganu,kelmarin.

Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Usahawan dan Koperasi negeri, dato’ Mohamed Awang Tera dan Timbalannya, Dato’ Rosol Wahid dan Datuk Bandar Majlis Bandaraya Kuala Terengganu, Dato’ Adzlan Dagang.

Dalam pada itu, sebanyak 13 pengusaha melibatkan pelbagai produk termasuk makanan, alat telekomunikasi, ubat-ubatan dan pakaian terpilih menjalankan perniagaan di Bazar TTC dengan menawarkan barangan berkualiti, harga yang kompetitif dan pengurusan yang teratur.

"Kita mahu menghindari kaedah perniagaan yang tidak teratur, mahal dan tidak peramah dengan pelanggan.

"Malah kita juga berharap dengan usaha berterusan YPU ini kita mampu memajukan golongan Bumiputera tempatan dalam keusahawanan dan mampu mencontohi cara kaum Cina yang maju dalam bidang itu," katanya.