Halaman

05 April 2012

Kursus Ibu Kampung untuk isteri ahli jawatankuasa JKKK


Peserta kursus menyanyikan lagu "Keluarga Harmoni"

Oleh: Mohammad Ishak


Kursus “Ibu Kampung” bunyinya agak pelik tetapi modulnya amat berkesan dan disukai oleh peserta yang pernah menghadiri kursus berkenaan untuk isteri ahli Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Negeri terengganu.

Keberkesanan kursus berkenaan diakui ramai peserta kerana mereka mendapat tip berguna terutama dalam aspek penampilan diri dan keyakinan diri daripada pengendali kursus Pakar Sosiologi Klinikal,Datuk Dr Wan Halim Othman

Kursus sehari anjuran Yayasan Pembangunan Keluarga Terengganu (YPK) itu memberi tumpuan kepada isteri pemimpin JKKK bertujuan memberi pendedahan kepada peserta mengenai kemahiran serta teknik pendampingan dalam komuniti.

Kursus sama turut diadakan kepada isteri pemimpin JKKK bagi Parlimen Besut yang berlangsung di Dewan Majlis Daerah Besut (MDB),Gong Kemuntong, dekat Jertih, semalam.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Putera, Muhammad Pehimi Yusof merasmikan kursus sesi pertama bagi tahun ini. Hadir sama Pegawai Daerah Besut, A Rahim Jusoh dan Pengarah YPK Mohd Shafaruddin Mustaffa.

Seramai 80 peserta mewakili isteri Pengerusi, Timbalan Pengerusi,Setiausaha, Bendahari dan Ahli Jawatankuasa JKKK daerah Besut menghadiri kursus berkenaan.

Ketika sisi kursus peserta dibahagikan kepada beberapa kumpulan bagi memudahkan pengendali kursus berinteraksi secara langsung selain sesi soal jawab secara spontan.

Dr Wan Halim yang juga pakar dalam kekeluargaan digemari peserta kerana penyampaian yang terus terang dan berkesan terutama membabitkan perhubungan suami isteri,keluarga dan komuniti.