Halaman

30 April 2012

KGGT diteruskan


Oleh: Suriati Ali

Karnival Generasi Gemilang Terengganu (KGGT) 2012 yang bermula awal Mac lalu di empat daerah di negeri ini akan diteruskan ke tiga lagi daerah.

Ia dijadualkan berlangsung di Dataran Bukit Payong, Marang pada malam ini dan di Padang Rakan Muda, Dungun, esok manakala di Bandar Pemaisuri, Setiu pada 2 Mei ini.



Karnival anjuran kerajaan negeri dengan kerjasama Kelab Remaja Terengganu (KRT) itu sebelum ini pernah diadakan di Hulu Terengganu, diikuti Kuala Terengganu, Kuala Nerus, Kemaman dan Besut.

Pengerusi KRT, Saiful Bahri Bahruddin, berkata program itu sebagai kemuncak kepada beberapa acara pertandingan sukan yang disertai golongan belia di setiap daerah di Terengganu.



Antaranya, termasuk acara bola sepak, futsal, bola jaring , badminton, sepak takraw dan ping pong.

“Karnival itu mampu melahirkan belia yang memiliki peribadi bersepadu dari segi akidah, rohaniah dan jasmaniah.

“Malah, sebagai penggerak kemajuan dan kemakmuran, belia juga akan lebih bertanggungjawab, berdikari, bersemangat sukarela dan patriotik demi bangsa, agama dan negara,” katanya.

Pada kemuncak karnival, orang ramai berpeluang menyaksikan persembahan Kumpulan muzik tersohor dari Indonesia, Wali Band dan beberapa artis terkenal tanah air.