Halaman

18 April 2012

Kerajaan buka ladang kelapa sawit bantu pelajar

Oleh; Esah Abdullah

Kerajaan negeri akan membangunkan kawasan seluas 4,400 hektar untuk tanaman kelapa sawit di Mercang, Marang untuk pelaburan jangka panjang bagi membiayai pelajar- pelajar di negeri ini.

Menteri Besar Dato’ Seri Haji Ahmad Said berkata, projek pertama di bawah Program Ladang Kelapa Sawit Yayasan Terengganu (PLKSYT) ini akan diuruskan oleh Lembaga Tabung Amanah Warisan Negeri.

“Usaha ini merupakan sebahagian daripada persediaan kerajaan untuk tempoh jangka panjang serta mengurangkan kebergantungan kepada hasil minyak dan gas yang mungkin akan habis nanti,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Mingguan Exco di Wisma Darul Iman hari ini.

Katanya, kawasan ini merupakan tapak tanaman akasia tetapi ia tidak menguntungkan lalu kerajaan mengambil inisiatif menukarnya dengan tanaman kelapa sawit dan kerja-kerja menanam akan dimulakan pada Oktober nanti.

Menurutnya, kerajaan menyasarkan membuka 200 hektar ladang kelapa sawit di bawah program ini dan sedang mencari kawasan sesuai untuk mencapai sasaran berkenaan dan kos tanaman dianggarkan RM15,000 bagi setiap hektar.

Katanya, kerajaan akan laksanakan projek ini secara berperingkat, iaitu antara empat hingga lima ribu hektar setahun bergantung kepada kawasan yang dikenal pasti.

“Tanaman ini akan mencapai tempoh matang selepas tiga dan jika kita ada 200 hektar keuntungan dijangka boleh mencecah sehingga RM70 juta setahun mengikut pasaran sekarang,” katanya.