Halaman

17 April 2012

Jangan jadi gunting dalam lipatan

Oleh: Suriati Ali

“Mana-mana kakitangan atau pegawai Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (Ketengah) yang berhajat meletak jawatan untuk bertanding dalam Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13 dengan mewakili pembangkang supaya berfikir dua kali.

Jika ingin mencuba juga untuk bertanding, pasti akan berdepan dengan kekalahan pada Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Besi itu,” kata Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said ketika berucap berucap pada majlis perjumpaan dengan kakitangan Ketengah di Bandar Al-Muktafibillah Shah di Dungun semalam.

Pada majlis itu Dato’ Seri Haji Ahmad turut menyampaikan Anugerah Perkhidmatan Cemerlang kepada kakitangan Ketengah di kawasan perbandaran kerana sumbangan mereka dalam perkhidmatan, sukan dan kemasyarakatan.

Katanya, pegawai berkenaan juga perlu meneruskan tugasnya sebagai pegawai Ketengah yang begitu murni membangunkan rakyat luar bandar.

DUN Bukit Besi adalah dalam kawasan Parlimen Dungun dan wakil rakyatnya kini ialah daripada Barisan Nasional, Dato’ Din Adam.

Menurut Dato’ Seri Haji Ahmad Said, kakitangan Ketengah tidak sewajarnya menjadi ‘gunting dalam lipatan’ kerana mereka memegang amanah untuk menjamin segala perancangan dan pelaksanaan dijayakan sebaik-baiknya.

“Selain itu kerajaan kini sudah memperbaiki mutu dan insentif perkhidmatan awam yang sepatutnya direbut dan dipertahankan oleh mereka yang kini menikmati pelbagai kemudahan.

“Selain gaji dan bonus, kakitangan kerajaan termasuk Ketengah kini menikmati kehidupan yang lebih baik berbanding sebelum ini,” katanya.

Katanya, dengan pelbagai pendekatan baru, termasuk membangunkan Tasik Kenyir, yang sehingga kini sebanyak RM400 juta sudah dibelanjakan, peranan Ketengah kini bukan sekadar membangunkan wilayah tetapi juga memajukan sektor pelancongan dan perniagaan yang berkaitan dengannya.

“Kakitangan Ketengah perlu memainkan peranan membantu menjayakan matlamat Kerajaan Negeri yang menjadikan sektor pelancongan sebagai sektor ketiga dalam pendekatan pembangunan negeri,” katanya.